PENGUAT KUASA menemui sejumlah minyak masak peket satu kilogram yang disembunyikan di belakang kedai. FOTO Ihsan KPDN Kedah.
PENGUAT KUASA menemui sejumlah minyak masak peket satu kilogram yang disembunyikan di belakang kedai. FOTO Ihsan KPDN Kedah.
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Kerana enggan menjual minyak masak peket satu kilogram (kg), seorang peniaga runcit di Jalan Merbok, Taman Pekan Baru di sini, berdepan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Peniaga berusia 50-an itu disiasat selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima aduan di aplikasi TikTok.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, anggotanya kemudian melakukan penyamaran dan menyerbu premis itu hari ini.

"Peniaga terbabit menyatakan minyak masak bersubsidi tiada di premis, namun pemeriksaan lanjut penguat kuasa menemui 120 peket tersimpan di bahagian belakang premis berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata, peniaga terbabit mendakwa minyak masak itu tidak dijual kepada umum dan hanya untuk pelanggan tetap premis berkenaan.

Susulan itu, katanya, pihaknya merampas minyak masak terbabit dan peniaga itu disiasat Seksyen 16 A (1) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku peniaga boleh melaporkannya di talian hotline 1-800-886-800 atau 03-88826088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau emel ke e-aduan @kpdnhep.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:20 PM