Rosli Ilham

Dungun: Kerajaan akan memperkemaskan sistem pangkalan data bagi memudahkan pendaftaran Insurans Rahmah kepada semua mangsa banjir di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia akan dikumpul membabitkan kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam APM, polis dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Katanya, apabila data itu dapat dikumpulkan sepenuhnya akan menjadi lebih sistematik untuk mendapatkan data yang tepat.

"Kita juga turut mengumpulkan data melibat geografi kampung-kampung yang sering berlaku banjir.

"Ia menjadikan libat urus yang lebih serius dan bersistematik untuk mendapatkan dana yang tepat," katanya selepas menyampaikan Bantuan Wang Insan kepada 300 Mangsa Banjir Monsun Timur Laut di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, hari ini.

SALAHUDIN Ayub (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir. FOTO Rosli Ilham
SALAHUDIN Ayub (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir. FOTO Rosli Ilham

Salahuddin berkata, pihaknya menjangkakan akan mengambil masa dalam tempoh enam bulan untuk mengumpul dan menyelaraskan kesemua data terbabit.

"Dengan data yang tepat dapat memudahkan syarikat-syarikat insuran menawarkan pakej yang bersesuaian kepada mangsa banjir.

"Kita mahukan kediaman serta kenderaan mangsa-mangsa banjir dapat diinsuranskan dengan pakej-pekej menarik dan tidak membebankan mangsa banjir," katanya

Sehubungan itu, beliau meminta kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir supaya segera mendaftar demi melengkapkan data terbabit.

"Setakat ini ada dua atau tiga syarikat insurans telah menawarkan minat untuk menyediakan pakej menarik untuk membantu mangsa banjir.

"Minggu depan ada beberapa lagi syarikat insurans yang akan mengemukakan pakej mereka dan kerajaan sebolehnya mahukan pakej yang murah dan tidak membebankan mereka yang mencarum serta mendapat perlindungan yang setimpal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 5:45 PM