Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Polis Kelantan menggunakan dron untuk meninjau kawasan dilanda banjir yang tidak dapat dimasuki bagi mengetahui keadaan sebenar dan mengenal pasti paras air di lokasi terbabit.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bah kali ini menyebabkan kawasan yang sebelum ini bebas banjir turut digenangi air sehingga laluan ditutup terus untuk sebarang kenderaan.

Katanya, justeru penggunaan dron adalah yang paling praktikal untuk tempoh ini sekali gus melancarkan lagi kerja anggota dan pegawai bertugas dalam misi menyelamat mangsa banjir.

"Banyak panggilan bantuan daripada mangsa diterima kerana banjir yang tidak dijangka, lebih- lebih lagi apabilaia turut memberi kesan kepada penduduk yang tidak pernah berhadapan dengan bah sebelum ini.

"Keadaan masih terkawal dan jumlah keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan mencukupi untuk misi bantuan termasuk mendapat bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Anggota akan terus memberi khidmat terbaik dalam membantu masyarakat supaya kerana sudah bersedia fizikal dan mental untuk menghadapi situasi sebegini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikam sumbangan pek makanan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Lati, di sini, hari ini.

MUHAMAD Zaki (dua kiri) menyampaikan sumbangan pek makanan kepada mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki (dua kiri) menyampaikan sumbangan pek makanan kepada mangsa banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam masa sama, Muhamad Zaki turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang remeh dengan bencana banjir serta kekal berada di rumah atau pusat pemindahan sementara (PPS) untuk berlindung.

"Jangan sesekali memenuhi jalan semata-mata untuk melihat banjir kerana ia menyukarkan agensi keselamatan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Begitu juga dengan pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan di tepi jalan.

"Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan sekiranya golongan berkenaan masih berdegil dan tidak mendengar arahan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 1:22 PM