TEO Nie Ching. FOTO BERNAMA
TEO Nie Ching. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama penyedia platform media sosial telah menurunkan sebanyak 1,565 kandungan yang melanggar kesalahan piawaian panduan komuniti yang ditetapkan sejak 2022 hingga April lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata sejak penubuhan pasukan tugas khas bagi menangani berita palsu dan 3R (kaum, agama dan institusi Diraja) pada 1 Disember lalu, sebanyak 195 kandungan yang bersifat sensitif atau provokatif telah dikesan dengan 80 peratus daripadanya telah pun diturunkan dengan kerjasama penyedia platform tersebut.

"Sejak penubuhan task force tersebut, pihak MCMC secara proaktif menjalankan aktiviti pemantauan dan mengenal pasti kandungan yang berpotensi menjadi berita palsu," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rang undang-undang berkenaan kemudian diluluskan selepas dibahaskan oleh empat Ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu Teo berkata Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023, adalah bagi mengesahkan kutipan bayaran program televisyen yang dibuat Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dari 15 Mac 2001 hingga 28 Februari 2022 dan supaya ia lebih teratur sekali gus mengikut undang-undang.

Katanya, RTM mengenakan kadar bayaran ke atas program-program televisyen yang dimilikinya berdasarkan Kadar Bayaran Program RTM yang diluluskan Perbendaharaan pada 2 Februari 2000 dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Mac 2001.

Teo berkata selain itu RTM juga menjana kutipan hasil sebanyak RM1,762,530 bagi pihak kerajaan bermula daripada 15 Mac 2001 sehingga 28 Februari 2022 selepas Jemaah Menteri bersetuju supaya Kadar Bayaran Perkhidmatan RTM bagi salinan program televisyen dan caj perkhidmatan untuk penyediaan sari kata serta terjemahan dikenakan kepada pelanggan.

Bagaimanapun, katanya kutipan bagi program televisyen ditangguhkan setelah didapati bahawa tiada pewartaan dibuat bagi pengenaan bayaran tersebut dan tidak selari dengan ketetapan 'Arahan Perbendaharaan WP 10.1 Penetapan Kadar Bayaran dan Borang Kerajaan'.

Persidangan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 8:19 PM