Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: "Setiap kali angin kuat ketika ribut atau hujan lebat, saya mula bimbang berlaku kejadian sama (dinding tercabut) menimpa jiran berulang semula," kata Juliana Ab Karim, penyewa di sebuah unit rumah di Tingkat 12 Blok 28, Perumahan Awam Loke Yew, di sini.

Juliana, 36, berkata, dia menyedari dinding di satu-satunya bilik di rumah sewanya itu renggang sejak insiden terbabit pada 2014.

"Saya perasan tingkap di bilik bergoyang setiap kali angin kuat. Ia menyebabkan saya selalu resah setiap kali angin kuat ketika hujan lebat atau ribut petir.

"Perasaan risau itu sentiasa ada kerana bimbang dengan keselamatan anak-anak yang masih kecil ketika berada di rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam Loke Yew, hari ini.

JULIANA bersama anaknya bimbang dengan keadaan dinding di bilik rumah sewa renggang sejak 2014. FOTO Saifullizan Tamadi
JULIANA bersama anaknya bimbang dengan keadaan dinding di bilik rumah sewa renggang sejak 2014. FOTO Saifullizan Tamadi

Dia yang juga suri rumah berkata, rumah itu didiaminya bersama suami, Mohd Saiful Sabtu, 40, yang bekerja sendiri serta empat anak sejak 18 tahun lalu.

"Sebelum ini, ada beberapa jiran maklumkan kepada saya bahawa mereka sudah tampil membuat aduan berhubung kebimbangan terhadap struktur dinding bilik rumah masing-masing yang diperbuat daripada papan.

"Justeru, saya berhasrat membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung keadaan dinding bilik yang sudah renggang dalam masa terdekat.

"Besar harapan kami supaya permasalahan ini diambil tindakan dengan segera supaya insiden sama tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 3:57 PM