KONTRAKTOR DBKL membaik pulih dinding bilik rumah Faridah yang tercabut akibat ribut, semalam.
KONTRAKTOR DBKL membaik pulih dinding bilik rumah Faridah yang tercabut akibat ribut, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kejadian kali kedua dinding tercabut di Perumahan Awam Loke Yew, di sini, akibat dilanda ribut, semalam seakan sudah dijangka berikutan struktur dinding bilik kediaman itu yang dibina daripada papan.

Penghuni perumahan itu yang pernah ditimpa insiden sama, Erdawati Rahman, 49, berkata dia berasa kasihan dengan tragedi menimpa jirannya.

"Bila insiden sama (dinding bilik tercabut) berulang, saya rasa kasihan dengan jiran kerana perlu melalui pengalaman seperti saya sebelum ini. Memang tidak mustahil insiden itu berlaku semula memandangkan struktur dinding bilik dibina daripada papan.

"Namun, tindakan pantas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat baik pulih dengan segera secara tidak langsung memberikan kelegaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan semula kejadian pada Oktober 2014 itu, Erdawati berkata, dia menerima panggilan telefon daripada jirannya berhubung kejadian terbabit.

"Ketika itu, kami sekeluarga tiada di rumah memandangkan saya sedang menjalani kursus, manakala suami yang juga seorang peniaga pasar malam serta anak-anak sedang bersiar-siar.

"Sebaik menerima panggilan daripada jiran, saya terus bergegas pulang ke rumah dan mendapati keadaan rumah bersepah seperti kapal karam," katanya.

Erdawati yang juga suri rumah berkata, dinding di dua bilik di rumah berkenaan tercabut menyebabkan beberapa barangan turut lesap diterbangkan angin.

"Malah, cermin tingkap rumah juga pecah akibat angin kuat. Kami sekeluarga terpaksa menginap di hotel selama tiga hari bagi membolehkan pihak DBKL membuat baik pulih.

"Kedua-dua dinding berkenaan kini sudah diganti dengan bata," katanya yang sudah menyewa di rumah berkenaan bersama suami serta dua anak sejak 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 2:32 PM