KUALA LUMPUR: Hujan lebat dan angin kencang bermula kira-kira 5 petang tadi mengakibatkan kejadian pokok tumbang, dahan pokok jatuh serta insiden papan tanda dan dinding rumah tercabut di sekitar ibu negara.

Menurut jurucakap Bilik Kawalan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antara kawasan terjejas akibat pokok tumbang ialah Jalan Stadium berhampiran Stadium Negara, Bulatan Kereta Api Tanah Melayu berhampiran Hotel Majestic, Jalan Maharajalela susur ke Jalan Hang Tuah serta laluan masuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Kejadian dahan pokok jatuh pula dilaporkan berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun S.H. Lee dan Jalan Tun Razak berhadapan Kedutaan Indonesia, katanya ketika dihubungi malam ini.

"Selain itu, kami turut menerima masing-masing satu laporan berhubung papan tanda terjatuh dekat Stesen LRT di Jalan Tun Perak dan dinding papan di Flat Loke Yew tercabut," katanya.

Sementara itu, jurucakap Polis Trafik Kuala Lumpur melaporkan kejadian pokok tumbang di Jalan Tun Sambathan di Brickfields, Jalan Changkat Stadium, Jalan Kuching menghala ke Bulatan Datuk Onn dan laluan ke Bangunan RHB Bank di Jalan Tun Razak.- Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 11:46 PM