KERJA pemasangan kanvas di unit rumah di Perumahan Awam Loke Yew, Kuala Lumpur yang terjejas akibat ribut, semalam. FOTO Ihsan DBKL
KERJA pemasangan kanvas di unit rumah di Perumahan Awam Loke Yew, Kuala Lumpur yang terjejas akibat ribut, semalam. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dinding sebuah unit rumah di Perumahan Awam Loke Yew, di sini, tercabut dalam kejadian hujan lebat disertai ribut, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil tindakan segera dengan menutup dan memagar kawasan sisa dinding runtuhan menggunakan 'zebra' atau 'hazard tape' bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di lokasi terbabit.

"Dinding sementara sudah dipasang di unit terbabit sebelum kerja-kerja baik pulih dinding kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Selain itu, terdapat juga empat rumah di Blok 3, Perumahan Awam Seri Johor terbabit dengan insiden bumbung blok tercabut.

"Pihak DBKL sudah mengambil tindakan segera dengan memagar kawasan sisa runtuhan menggunakan hazard tape untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di tapak sisa runtuhan bumbung terbabit," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan kanvas sementara sudah dilakukan di bumbung unit rumah terbabit sebelum kerja baik pulih bumbung kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Bekalan elektrik di unit terbabit juga sudah diputuskan bagi tujuan keselamatan. Penghuni yang terbabit sudah berpindah ke rumah saudara di kawasan berhampiran.

"Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka buat masa ini," katanya.

Terdahulu, video dinding rumah flat berkenaan tercabut tular di media sosial sejak malam tadi sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 11:31 AM