Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penyewa sebuah unit rumah di tingkat 12 Blok 28 Perumahan Awam Loke Yew, di sini, menarik nafas lega selepas dinding bilik yang tercabut akibat ribut, kelmarin, sudah dibaiki.

Bukan saja dinding sebuah bilik yang tercabut dibaiki Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga bersetuju untuk menggantikan dinding di bilik kedua rumah berkenaan.

Penghuni rumah itu, Nazri Nasir, 55, berkata, kerja baik pulih dinding bilik dibuat pihak DBKL sejak awal pagi semalam.

"Setakat ini, dinding diperbuat daripada bata dan simen sudah siap, cuma cermin tingkap saja belum dipasang. Saya difahamkan kerja pemasangan cermin itu akan dibuat esok.

"Selepas berbincang dengan pihak DBKL, mereka setuju menggantikan dinding di sebuah lagi bilik yang sudah renggang memandangkan papan yang dipasang begitu lama dan mulai reput atas faktor keselamatan.

"Kerja-kerja menggantikan dinding bilik itu akan dibuat dalam beberapa hari lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam Loke Yew, di sini, hari ini.

PERUMAHAN Awam Loke Yew. FOTO Saifullizan Tamadi
PERUMAHAN Awam Loke Yew. FOTO Saifullizan Tamadi

Nazri berkata, sebelum ini, penghuni di bangunan blok itu berdepan dengan kebimbangan kerana struktur papan digunakan di kebanyakan dinding bilik rumah.

"Ada beberapa jiran sudah membuat aduan berhubung perkara itu terutama selepas kejadian pertama berlaku pada 2014. Dalam kejadian itu, semua unit rumah yang mengalami kerosakan (dinding tercabut) terletak di bahagian hujung blok.

"Lokasi rumah hujung ini adalah yang paling berisiko mengalami kerosakan disebabkan faktor angin. Apabila dinding bilik sudah ditukar dengan batu serta simen, kita rasa lebih yakin," katanya.

Dia berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi menggantikan dinding bilik daripada papan terutama di unit rumah yang berisiko tinggi bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Semalam, Harian Metro melaporkan dinding sebuah unit rumah di Perumahan Awam Loke Yew, tercabut dalam kejadian hujan lebat disertai ribut, kelmarin.

DBKL dalam kenyataan semalam, memaklumkan pihaknya mengambil tindakan segera dengan menutup dan memagar kawasan sisa dinding runtuhan menggunakan 'zebra' atau 'hazard tape' bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di lokasi terbabit.

Menurutnya, dinding sementara sudah dipasang di unit terbabit sebelum kerja-kerja baik pulih dinding kekal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, selain itu, terdapat juga empat rumah di Blok 3, Perumahan Awam Seri Johor terbabit dengan insiden bumbung blok tercabut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 1:57 PM