GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pemandu atau pengendali syarikat bas diminta menurunkan semua penumpang di dalam terminal dan bukan mengambil dan menurunkan penumpang di luar dari kawasan terminal bas khususnya di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral).

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur memberi peringatan itu selepas pihak syarikat yang menguruskan terminal KL Sentral Sdn Bhd Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) serta melalui pemantauan yang dilaksanakan, didapati masih terdapat segelintir pemandu yang mengambil dan menurunkan penumpang di luar kawasan terminal.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail memberi peringatan kepada pengendali syarikat bas supaya memastikan pemandunya mematuhi syarat-syarat lesen pengendali dan juga pengendali terminal iaitu mengambil dan menurunkan penumpang di dalam terminal.

Menurutnya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan saman kepada mana-mana pemandu atau pengusaha bas yang masih berdegil dan tidak mengambil berat akan peringatan ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, penguatkuasaan berhubung larangan mengambil dan menurunkan penumpang di luar kawasan terminal sentiasa dilaksanakan demi memastikan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain selamat dan kesesakan lalu lintasdapat dielakkan.

"Kita akan meningkatkan pemantauan selain menggiatkan lagi penyamaran bagi memastikan semua pengusaha bas ekspres mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Orang awam juga dipohon supaya dapat menyalurkan maklumat atau membuat aduan kepada JPJ Kuala Lumpur memandangkan isu ini satu isu yang boleh diatasi secara bersama dengan bantuan orang awam sebagai mata dan telinga pihak JPJ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 2:25 PM