GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


TINDAKAN pemandu bas ekspres menggunakan telefon bimbit ketika memandu mengundang padah apabila dia didenda sebanyak RM300 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Selasa lalu.

Pengarah JPJ Pahang, Mohammad Abdullah berkata, pemandu berusia 30 tahun itu melakukan kesalahan berkenaan ketika bertugas dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur pada 9.20 pagi.

Katanya, tindakan pemandu bas itu berjaya dikesan oleh seorang daripada anggota JPJ yang menyamar sebagai penumpang bas berkenaan.

“Pada operasi kali ini, taktik penyamaran adalah paling berkesan untuk mengenal pasti pemandu bas ekspres yang melakukan lapan kesalahan utama.

“Antara kesalahan yang diberi perhatian ialah pemanduan melebihi had laju, memandu menggunakan telefon bimbit dan kesalahan lalu lintas termasuk memotong di garisan berkembar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Operasi Tahun Baru Cina di Terminal Sentral Kuantan (TSK), di Kuantan, hari ini.

Operasi itu membabitkan pemeriksaan cukai jalan, kaunter tiket, lesen pemandu bas ekspres, pemeriksaan tayar dan memastikan pengusaha bas ekspres turut menyediakan pemandu kedua.

Bagi memastikan pengangkutan awam terutama bas ekspres berada dalam keadaan selamat, Mohammad berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di tujuh depoh iaitu di Kuantan, Jengka, Mentakab dan Temerloh dari 22 Januari hingga 28 Januari lalu.

Katanya, sebanyak 40 bas diperiksa membabitkan teknikal kenderaan iaitu brek, tayar, lampu isyarat dan sijil Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Berdasarkan pemeriksaan itu, kita berpuas hati kerana semua kenderaan itu mengikut spesifikasi seperti yang dibenarkan.

“Kita juga melakukan pemeriksaan di terminal bas iaitu Kuantan, Genting Highlands dan Temerloh untuk memastikan pengusaha bas mematuhi segala peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut melakukan pemeriksaan bas ekspres secara rawak terutama di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh dan hentian Merapoh, Lipis untuk memastikan keselamatan penumpang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 2:09 PM