Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pas tidak mengamalkan budaya menawarkan jawatan kepada mana-mana individu yang ingin menyertai parti itu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu juga terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin menyertai mereka.

"Kita (Pas) tidak mengamalkan (menawarkan) apa jawatan (dan) sebenarnya daripada rakan-rakan parti yang lain pun kita tidak menawarkan jawatan itu.

"Itu spekulasi daripada pihak di luar sana, yang penting ialah kita mengalu-alukan penyertaan dalam kalangan rakyat sama ada berparti atau tidak berparti atau dari parti politik mana sekali pun (sama ada) daripada PH (Pakatan Harapan) atau Barisan Nasional (BN) sendiri yang ingin bersama dengan kita.

"Kalau boleh menjadi ahli, kalau tidak menjadi ahli, jadi penyokong (dan) kalau tak jadi penyokong jadi pengundi kita dalam pilihan raya akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas negeri Terengganu di Dataran ShahBandar di sini hari ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu kepada Khairy Jamaluddin jika beliau mahu menyertai parti itu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendedahkan tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada Umno, pada Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 5:54 PM
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) beramah mesra bersama pengunjung pada majlis Rumah Terbuka Eidulfitri Pas Terengganu di Dataran Shahbandar. FOTO Ghazali Kori.
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) beramah mesra bersama pengunjung pada majlis Rumah Terbuka Eidulfitri Pas Terengganu di Dataran Shahbandar. FOTO Ghazali Kori.