Takiyuddin. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Takiyuddin. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: PAS meneruskan peranan sebagai pendamai antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Isnin ini.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu bagi mengelak pertembungan sesama mereka.

Beliau berkata, ia juga senada dengan kemahuan parti yang mahu mengelak pertembungan dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, rundingan kerusi sedang dijalankan sehingga 8 November ini supaya berlaku keharmonian antara ketiga-tiga parti utama dalam menghadapi PRN Melaka.

"Usaha sedang dijalankan sehingga hari ini dan mungkin pada 8 November ini (tetapi) saya tak boleh nak umumkan kerana belum ada satu ketetapan yang muktamad.

"Di Melaka, sebagaimana kita maklum, ada 28 kerusi kalau bahagi tiga (kerusi) sudah banyak dapat (antara) sembilan, 10 kerusi seorang (tiga parti utama) dan kalau bincang ada yang dapat lebih, ada yang sikit kalau ada muafakat.

"Itu yang sedang diusahakan sekarang. Jadi kalau selesai, kita yakin gabungan parti-parti ini akan mendapat kejayaan lebih daripada 2/3 kerusi kerana kita hanya perlukan 19 kerusi untuk mendapat majoriti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai penggunaan logo pada PRN Melaka, Takiyuddin berkata, PAS sudah menyatakan pendirian untuk bersama PN termasuk akan bertanding atas tiket dan menggunakan logo PN.

"Setakat ini, Barisan Nasional (BN) akan guna logo BN, Perikatan Nasional akan guna PN, tetapi kalau kita mencapai persefahaman, (kawasan) Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi BN, biar BN (dan) tiada PN (di situ).

"Bagi DUN yang ditandingi PN, tiada BN (di situ), jadi itu yang kita sedang mencari (dan) benda (keputusan) itu boleh dicapai," katanya.

Mengulas mengenai hala tuju kerjasama antara PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) susulan keputusan PAS pusat yang memutuskan untuk bertanding atas tiket PN, Takiyuddin berkata, PAS akan terus memperkasakan MN dan mempertahankan PN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 5:55 PM