SEKITAR tinjauan kebersihan di Flat PPR Kempas, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
SEKITAR tinjauan kebersihan di Flat PPR Kempas, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Lebih 50 peratus daripada flat kos rendah berusia kira-kira 30 hingga 40 tahun di negeri ini dalam kategori uzur dengan pelbagai masalah penyelenggaraan seperti yang dizahirkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara flat awam yang bermasalah.

Beliau berkata, selain isu kebersihan, antara masalah lain dihadapi termasuk kebocoran bumbung, sistem pendawaian dan perpaipan.

Menurutnya, flat kos rendah atau flat awam ini berbeza dengan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang memiliki peruntukan khas kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, di seluruh Johor, terdapat lebih 100 projek flat awam dan mengikut data kita miliki, 100 daripadanya terletak dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPkU).

"Daripada jumlah itu, boleh dikatakan lebih 50 peratus daripadanya berada dalam kategori seperti dititahkan Sultan Johor," katanya pada sidang media selepas melawat Flat Taman Ungku Tun Aminah, di sini hari ini.

Mohd Jafni berkata, selama ini tiada peruntukan khas kerajaan buat flat awam kerana ia kediaman swasta yang diuruskan penduduk menerusi penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

"Ikut undang-undang mereka perlu tubuh jawatankuasa penduduk yang dilantik mereka sendiri dan laksana bayaran penyelenggaraan bulanan, wang itu akan digunakan untuk selenggara premis.

"Malangnya, lebih 70 peratus flat awam di Johor yang kebanyakannya disewa penghuni gagal mendapat bayaran penyelenggaraan bulanan mencukupi bagi membolehkan kontraktor melakukan kerja-kerja pembaikan.

"Oleh itu, sudah tiba masanya Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan khas bagi pelaksanaan kerja penyelenggaraan untuk flat awam bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara," katanya.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah di negeri ini yang disifatkan baginda dalam keadaan daif.

Berita berkaitanSampah terbang dari atas flat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 8:45 PM