Mohd Jafni (dua dari kanan) melawat keadaan Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) sempena Program Johor Bersih hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mohd Jafni (dua dari kanan) melawat keadaan Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) sempena Program Johor Bersih hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kerajaan negeri akan mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan pembangunan semula flat awam usang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor, antara perkara yang akan dikaji termasuk merobohkan sebahagian flat awam usang.

Beliau berkata, ini kerana baik pulih dan pengindahan flat yang uzur mungkin hanya dapat bertahan bagi tempoh tertentu dan ia masalah sama boleh berulang sedangkan pembinaan bangunan baharu mungkin boleh bertahan bagi 40 tahun.

"Kita akan bincangkan pembangunan semula berikutan kos bagi kerja baik pulih, pengindahan dan sebagainya di keseluruhan flat di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) dijangka memakan kos RM26.3juta.

"Ia termasuk setiap unit di flat ini memerlukan sekurang-kurangnya RM25,000 dan bagi 4,089 unit ia sama dengan kos untuk membina perumahan baharu.

"Kemungkinan tahap kerosakan sistem perpaipan, pendawaian serta bumbung lebih buruk daripada kita lihat kerana rata-ratanya mencecah usia kira-kira 40 tahun.

"Kita akan bincang sama ada usaha baik pulih berbaloi atau sebaliknya," katanya di sidang media di Program Johor Bersih di Flat TUTA di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri memfokuskan usaha untuk membaik pulih Blok 16 Flat TUTA (72 unit) dalam tempoh masa terdekat.

Menurutnya, ia akan menjadi projek perintis dan pemilihan blok berkenaan berikutan keadaannya serta tahap keselamatan yang rendah.

Katanya, peruntukan bagi menampung kos pembaikpulihan Blok 16 membabitkan RM1.8 juta menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

"Kerja pembersihan Blok 16 Flat TUTA sudah dimulakan dan proses sebut harga dan tender akan mengambil masa tiga bulan.

"Kita menjangka dapat memulakan projek baik pulih ini pada Oktober dan pada hujung tahun kita dapat melihat hasil usaha dijalankan dan menilai sama ada projek rejuvenasi ini berbaloi atau tidak," katanya.

Di seluruh Johor, terdapat lebih 100 projek dalam kawasan Greater JB, iaitu di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Malah 50 peratus daripadanya dalam keadaan uzur selain sebahagiannya ketiadaan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) berikutan kegagalan penduduk membayar yuran penyelenggaraan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini menzahirkan kekecewaan baginda terhadap tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah di negeri ini.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 1:30 PM