MOHD Jafni (tengah), Mohd Haffiz (kiei sekali) dan Pandak (kanan sekali) meneliti pelan baik pulih Flat Kenari. FOTO Mohamed Farid Noh.
MOHD Jafni (tengah), Mohd Haffiz (kiei sekali) dan Pandak (kanan sekali) meneliti pelan baik pulih Flat Kenari. FOTO Mohamed Farid Noh.
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan Johor menyalurkan RM42.1 juta bagi membaik pulih serta menyelenggara empat flat kos rendah uzur di negeri ini.

Ia susulan teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang kecewa dengan keadaan daif flat kos rendah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kerja baik pulih dan selenggara empat flat kos rendah itu sedang giat berjalan.

"Empat flat kos rendah yang dalam keadaan uzur kini sedang giat dibaik pulih membabitkan peruntukan RM42.1 juta dengan kerja selenggara dipantau rapi.

"Ia membabitkan Pangsapuri Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) dengan peruntukan terbesar iaitu RM25 juta membabitkan baik pulih sistem perpaipan selain semua blok di situ akan dicat semula

"Kerja baik pulih Pangsapuri Saujana pula membabitkan peruntukan RM10.1 juta membabitkan kerja cat semula dan penggantian lif baharu yang akan bermula bulan depan.

"Flat Kenari dan Jentayu di Kangkar Pulai pula menerima RM7 juta dari kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi kerja cat semula dan pengindahan kawasan yang giat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja baik pulih di Flat Kenari, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Pandak Ahmad dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Haffiz Ahmad.

Pada 16 Mei lalu, lebih 50 peratus daripada flat kos rendah berusia kira-kira 30 hingga 40 tahun di negeri ini dilaporkan berada dalam kategori uzur dengan pelbagai masalah penyelenggaraan seperti yang dizahirkan Sultan Johor.

Mohd Jafni dilaporkan berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara flat awam yang bermasalah di negeri ini.

Ia susulan teguran Sultan Ibrahim pada 15 Mei lalu, yang dilaporkan menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah di negeri ini.

Baginda dilaporkan bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 12:30 PM