SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, di Istana Bukit Serene. FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, di Istana Bukit Serene. FOTO Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.

Sultan Ibrahim bertitah, kebanyakan flat-flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

"Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam reban ayam.

"Saya harap kerajaan Pusat akan berikan bantuan untuk baik pulih flat kos rendah yang lama dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka," titah baginda dalam kenyataan dimuat naik akaun Facebook rasmi, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, di Istana Bukit Serene, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa tidak berpuas hati baginda dengan perkhidmatan pembersihan yang dijalankan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM), di negeri ini.

"Kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan (pembersihan) atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.

"Malah perjanjian bersama SWM adalah 'watertight' seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah," titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah KPKT perlu mengambil perhatian perkara-perkara yang disampaikan baginda demi kepentingan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 3:50 PM