DATUK Dr Mohd Na'im Mokhtar. FOTO Bernama
DATUK Dr Mohd Na'im Mokhtar. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yakin Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meningkatkan pemantauan dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Mohd Na'im Mohktar berkata, pihaknya mengambil maklum pendirian KDN dalam menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri dan Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menzahirkan supaya dikekalkan dasar sedia ada berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

"Kita akan sentiasa menjunjung titah Sultan Johor dan Sultan Selangor untuk menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam termasuk penggunaan kalimah Allah.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yakin pihak KDN akan meningkatkan pemantauan dan bertindak tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan KDN dalam melindungi dan memelihara dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah dan kalimah suci lain dalam agama Islam.

"Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan mengambil sikap berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap isu ini.

"Ini kerana ia berkaitan isu teknikal perundangan dan mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen tidak berasas bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama," katanya.

Terdahulu, KDN dan kerajaan dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Saifuddin dilaporkan sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Beliau dipetik berkata, nota itu hanya makluman kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan yang dibuat oleh KDN berkaitan tindakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 7:02 PM