SAIFUDDIN Nasution ketika sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SAIFUDDIN Nasution ketika sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu, dan bukanlah daripada sudut teologi ataupun apa jua yang membabitkan penggunaan kalimah 'Allah'.

"Ini kerana, fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal ehwal berkaitan agama secara spesifik.

"Justeru, dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ianya konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada 2014.

"Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan itu adalah dibuat mengikut 'case by case basis' tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini, hari ini

Mengulas lanjut, beliau berkata, sewaktu proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN turut memperhalusi keputusan Mahkamah Tinggi itu yang mendapati, terdapat percanggahan antara keputusan dibuat Kabinet pada 19 Mei 1986 dan arahan pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan KDN pada 5 Disember 1986.

"Oleh yang demikian, KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah 'Allah', 'Baitullah', 'Solat' dan 'Kaabah' agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Ia juga serta penyeliaan dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan penerbitan yang menyalahi peruntukan perundangan yang berkuat kuasa," katanya.

Di bawah arahan Kabinet pada Mei 1986, penganut Kristian boleh menggunakan empat perkataan bahasa Arab termasuk kalimah Allah dalam penerbitan mereka dengan syarat di luar kulit muka depan buku itu ditulis perkataan 'Untuk agama Kristian'.

Kabinet sudah mengeluarkan keputusan berkaitan polisi itu pada Mei 1986 berdasarkan satu nota oleh Tun Abdul Ghafar Baba, yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu, kepada Kementerian Dalam Negeri.

Pada 5 Disember 1986, satu arahan sudah dikeluarkan oleh KDN kepada semua penerbitan agama Kristian bahawa penggunaan keempat-empat perkataan adalah dilarang sama sekali.

Beliau berkata, pendirian KDN adalah menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang Dipertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuatkuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

"Dalam hal ini, adalah ditegaskan bahawa KDN komited dalam urusan mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan Institusi Beraja di Malaysia, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Tambah beliau, kelemahan yang menyebabkan kerajaan kalah dalam kes terbabit (Jill Ireland) adalah kerana arahan yang bercanggah.

"Seawal tahun ini, saya sudah minta Bahagian Penguatkuasaan kementerian teliti satu persatu sudut perundangan supaya dia jadi satu arahan pentadbiran yang baru, yang lebih kemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 3:12 PM