Amir Abd Hamid


Serdang: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata, nota itu hanya makluman kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan yang dibuat oleh KDN berkaitan tindakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

"Saya sedar mengenai perkembangan itu. Saya sudah mengemukakan nota kepada Jemaah Menteri beberapa bulan lalu mengenai tajuk (isu rayuan penggunaan kalimah Allah) ini.

"Nota jemaah menteri, dia ada dua bahagian, kalau kamu mahu keputusan, ia adalah Memo Jemaah Menteri atau lain-lainnya adalah nota, bermakna kami maklum kepada Kabinet mengenai keputusan KDN.

"Dalam kes ini, ia adalah keputusan dibuat KDN dan sudah dimaklum kepada Kabinet," katanya pada sidang media di Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Rumah Terbuka Aidfitri KDN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

SAIFUDDIN Nasution Ismail  pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre. FOTO Aziah Azmee
SAIFUDDIN Nasution Ismail pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, World Trade Centre. FOTO Aziah Azmee

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Ditanya alasan KDN menarik semula rayuan berkenaan, Saifuddin berkata, pihaknya akan menghuraikan mengenai isu itu pada satu sidang media dalam masa terdekat.

"Kalau boleh bagi kami teliti balik (isu ini) dan akan kembali dengan fakta kepada media.

"Isunya keputusan mahkamah berkait penggunaan kalimah Allah yang sudah sampai kepada mahkamah yang di atas.

"Saya pilih untuk tidak memberikan penjelasan hari ini. Saya akan nyatakan dalam sidang media terdekat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 3:31 PM