SULTAN Ibrahim Iskandar. FOTO ihsan RPO
SULTAN Ibrahim Iskandar. FOTO ihsan RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Persekutuan perlu memperhalusi dengan cermat dan sebaiknya kesan keputusan

menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan isu kalimah Allah.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah bahawa ia berikutan isu itu berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini.

Titah baginda, peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan tentang kalimah Allah perlu diperincikan tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk akan terus terpelihara.

"Saya tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di Johor selari dengan kedudukan Islam di dalam Undang Undang Tubuh Negeri Johor 1895.

"Di Johor, fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 jelas menyatakan, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan, ditegah dan dilarang.

"Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan, seperti dalam senikata Lagu Bangsa Johor," titah baginda.

Titah baginda itu dimuatnaik dalam akaun rasmi Facebook, hari ini.

Sejak minggu lalu, pelbagai pihak dilaporkan terus mengkritik tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, hanya terpakai untuk negeri itu dan tidak di negeri lain.

Beliau dilaporkan mengulangi pendirian kerajaan kekal komited mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan institusi raja, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:27 PM