KEADAAN Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) kini lebih bersih dan indah. FOTO Mary Victoria Dass
KEADAAN Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) kini lebih bersih dan indah. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Genap seminggu kerja pembersihan Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) dijalankan, keadaan persekitaran flat itu memperlihatkan perubahan ketara apabila lebih bersih dan indah.

Seorang penduduk, R Thilagam, 55, berkata dia yang menghuni flat berkenaan selama 20 tahun mendapati bangunan blok mahupun persekitarannya dalam keadaan bersih.

Menurutnya, ia hasil pembersihan tempat pembuangan sampah, longkang, kutipan sampah dan membersihkan sampah pukal.

"Ini kali pertama saya melihat keadaan flat ini yang bersih dan lebih baik hasil kerja pembersihan dilakukan, perubahannya amat ketara.

"Kami yakin sekiranya kerja mengecat bangunan dijalankan, keadaannya lebih ceria," katanya ketika ditemui.

Seorang penduduk, Ritna Sukarno, 38, berkata dia bersama suami sudah menghuni di Blok 60, Flat TUTA selama 15 tahun.

Menurutnya, dia yang turut mengusahakan gerai berhampiran Flat TUTA mendapati sampah di sekitar kawasan itu juga berkurangan.

"Suami adalah warga tempatan dan kami sudah lama menyewa di sini, memang sejak ada usaha dijalankan bagi membersihkan flat, ia kelihatan lebih baik dan bersih.

"Sebelum ini kawasan ini memang banyak tikus, namun kini ia berkurangan," katanya.

Sementara itu, B Krishnan, 60, berkata pihaknya berharap pembersihan dilakukan dari semasa ke semasa selain program gotong-royong membabitkan komuniti setempat.

"Kami gembira dan bersyukur atas inisiatif dilakukan namun sebagai penduduk saya berpendapat usaha bagi mengekalkan kebersihan juga di bawah tanggungjawab komuniti.

"Kita seharusnya bersama-sama untuk memastikan kebersihan flat ini," katanya.

Sebelum ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah di negeri ini.

Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

Flat TUTA memiliki 44 blok dengan 4,085 unit rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 4:53 PM