HARITH Fadzilah ketika ditemui media ada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 anjuran JAIPk di Masjid Cina (Masjid Muhammadiah) di Ipoh. FOTO L Manimaran
HARITH Fadzilah ketika ditemui media ada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 anjuran JAIPk di Masjid Cina (Masjid Muhammadiah) di Ipoh. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyerahkan siasatan berhubung seorang pendakwah bertaraf Profesor yang tidak mempunyai tauliah mengajar agama di negeri ini yang dijemput untuk merasmikan program di sebuah sekolah rendah di Klebang, di sini, baru-baru ini, kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, ia berikutan penceramah terbabit hanya dijadualkan merasmikan program tanpa membabitkan sebarang aktiviti mengajar atau bersyarah selain premis itu berada dalam kawasan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Jadi mengenai isu (tiada) tauliah itu, (JAIPk akan bertindak) kalau dia mengajar di masjid. Kita serahkan ini juga kepada JPN memandangkan ia sepatutnya berlangsung dalam kawasan sekolah.

"Mengenai cakap-cakap yang menyuruh agar JAIPk yang patut mengambil tindakan mengenai perkara itu, ia tidak betul sebab dia bukan mengajar agama sewaktu program berkenaan," katanya sewaktu ditemui pemberita dalam program Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 anjuran JAIPk di Masjid Cina (Masjid Muhammadiah), di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai pendakwah berkenaan melancarkan program berbentuk minat membaca serentak dengan sambutan Aidilfitri peringkat sekolah terbabit menerusi gegantung yang diletakkan di suatu lokasi.

Malah dalam hantaran berbeza sebilangan netizen mendakwa pendakwah itu tidak mempunyai tauliah mengajar di Perak oleh JAIPk selain pernah 'digam' daripada berceramah, mengajar dan bersyarah di Perak oleh Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk).

Dalam perkembangan berkaitan, Harith Fadzilah berkata, JAIPk masih kekal dengan pendirian tidak memberikan pengecualian kepada mana-mana individu termasuk figura pendakwah atau tokoh agama terkenal daripada mengajar agama di Perak jika tidak mendapatkan tauliah daripada jabatan itu.

Katanya, terdapat dua bentuk tauliah berceramah di bawah JAIPk iaitu tauliah mengajar di masjid atau surau serta 'tauliah' berbentuk kebenaran atau kelulusan daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah (PTAD).

"Untuk mengajar di masjid atau surau perlukan tauliah mengajar. Tapi kalau berceramah, seseorang itu perlu mendapatkan kelulusan daripada PTAD di daerah berkenaan.

"Maksudnya kalau penceramah-penceramah terkenal pun tetap kena melalui PTAD dan kena akur dengan formaliti itu," katanya.

Selasa lalu, media melaporkan 13 tokoh agama dan pendakwah diberikan pengecualian tauliah mengajar agama Islam atau berceramah di Pahang termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selain Zulkifli, antara pendakwah terkemuka yang dilapor turut mendapat pengecualian itu adalah Habib Ali Zainal Abidin, Datuk Mohd Kazim Elias, Prof Madya Dr Mohd Izhar Mohd Arif, Zul Ramli Ghazali, Syed Abd Kadir Al-Jofree, Azhar Idrus, Datuk Dr Farid Ravi Abdullah dan Muhadir Mohd Joll.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 12:41 PM