GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengeluarkan pekeliling khas kepada semua masjid, surau dan institusi agama negeri ini bagi mengelak institusi terbabit dicemari dengan kegiatan politik kepartian sempena tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengarahnya, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata pekeliling yang dikeluarkan adalah berpandu kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi memastikan kesucian agama Islam dipelihara serta tidak dicemari.

Menerusi pekeliling itu, perkara yang ditangguhkan adalah program tazkirah yang disampaikan oleh penceramah luar serta ceramah agama oleh penceramah luar atau penceramah yang aktif bekerja dan berkempen untuk calon mana-mana parti politik.

Sementara, antara perkara yang dilarang adalah pengambilalihan peranan menjadi imam dan khatib daripada pegawai masjid oleh calon, pemimpin parti, petugas parti politik; menyampaikan khutbah Jumaat yang bukan dikeluarkan oleh JAIPk; mengadakan ceramah, ucapan, pengumuman dan lawatan yang mempunyai elemen berkempen; mengumumkan bantuan, penyerahan sumbangan, dan tajaan jamuan atas nama calon dan parti politik.

Turut dilarang mengadakan acara perasmian atau pecah tanah pembinaan masjid, surau, maahad tahfiz, dan sekolah agama; pemasangan lambang dan bendera parti dan poster calon dalam bangunan dan perkarangan masjid, surau, maahad tahfiz, dan sekolah agama; serta mengedarkan risalah kempen dan manifesto.

"JAIPk dengan ini menetapkan peraturan dan panduan berikut mengenai program dan aktiviti yang dianjurkan di masjid, surau, maahad tahfiz, dan sekolah agama sepanjang tempoh kempen PRU-15," katanya menerusi pekeliling itu.

Harith Fadzilah berkata, semua arahan itu berkuat kuasa bermula solat Maghrib hari Jumaat 4 November 2022 sehingga solat Subuh 20 November 2022.

"Jika terdapat sebarang keraguan atau keadaan ketidakpastian, adalah dinasihatkan merujuk dan mendapatkan nasihat Orang Besar Jajahan (OBJ) dan Pegawai Tadbir Agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 12:28 PM