MOHAMAD Kazim. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Kazim. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: Semua pendakwah sama ada dalam atau luar Perak perlu mengikut peraturan berdakwah yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selaku pembuat dasar kepada agensi agama di negeri ini.

Pendakwah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hanya menangguhkan sementara aktiviti mengajar dan syarahan bagi penceramah dari luar negara dan luar negeri Perak sama ada bertauliah atau tanpa tauliah mengajar di dalam masjid, surau dan surau diri Jumaat (SDJ).

"Apa yang dilakukan JAIPk adalah proses penambahbaikan dan kita janganlah nak timbulkan kontroversi supaya masyarakat kita bertelagah, lebih baik kita bersederhana sahaja dan ikut undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan di sesebuah negeri.

"Perak bukan negeri pertama melakukan perkara ini (penambahbaikan) kerana negeri-negeri lain sudah terlebih dahulu melaksanakannya dan kita tak perlu terkejut pun kerana ada negeri sudah empat tahun dah lakukan," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima Watikah Tokoh Agama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Peringkat Negeri Perak di Dewan Annuar Mat Taib, Pusat Pendidikan Al Barakah yang disampaikan oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM Datuk Mohd Najmuddin Elias.

Sebelum ini, Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata penangguhan itu susulan proses penambahbaikan yang sedang dibuat terhadap Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau di Perak.

Langkah itu sebagai usaha penyusunan semula konsep serta kaedah dakwah dan pengajaran agama Islam supaya selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.

Penambahbaikan yang dilakukan susulan penangguhan itu adalah selepas Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak membuat penelitian terhadap permohonan penceramah dari Iuar negara dan Iuar negeri Perak.

Sementara itu, Mohamad Kazim turut menasihati mana-mana pihak yang tidak mempunyai tauliah mengajar supaya tidak menyalahkan jabatan agama serta berkecil hati jika tidak diberikan kebenaran berceramah.

"Bagi saya mudah. Kita pergilah berceramah di tempat yang kita punya dapat tauliah mengajar dan jika saya hanya dapat mengajar di Perak umpamanya maka bagilah ceramah di Perak sahaja, mengapa nak kecil hati kalau tak dapat berceramah di negeri lain.

"Kita kena terima kita ada peraturan yang perlu kita patuhi walau sesiapa pun kita dan penangguhan ini bukan melibatkan ceramah kuliah maghrib guru takmir yang tetap berjalan macam biasa, tetapi ini hanya melibatkan penceramah luar," katanya.

Katanya, penangguhan yang dibuat oleh JAIPk bukan untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 3:38 PM