PENGUAT Kuasa JAIPk menahan Ustaz Halim di Pekan Razaki.
PENGUAT Kuasa JAIPk menahan Ustaz Halim di Pekan Razaki.

Ipoh: Pendakwah bebas Halim Hassan ditahan pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sebuah surau di Pekan Razaki, di sini, kelmarin, selepas dipercayai mengajar tanpa tauliah.

Halim ditahan pada jam 9 malam selepas selesai memberikan ceramah agama di surau berkenaan sebelum dibawa ke pejabat JAIPk untuk diambil keterangan.

Jurucakap JAIPk berkata, penahanan Halim dilakukan berikutan dia didapati melanggar surat pekeliling dikeluarkan JAIPk di mana surat itu melarang penceramah bebas memberi kuliah atau ceramah di masjid serta surau di seluruh negeri ini jika tidak mempunyai tauliah daripada jabatan agama.

“Beliau melanggar arahan dan pihak surau akan dipanggil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

“Halim dibebaskan selepas keterangannya diambil dan JAIPk masih melakukan siasatan sebelum memutuskan tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIPk Mohd Yusop Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan Halim.

Mohd Yusof turut menasihatkan penganjur yang mahu mengundang penceramah bebas supaya mendapatkan kebenaran JAIPk bagi mengelakkan kecelaruan kepada masyarakat setempat.

“JAIPk menetapkan garis panduan dan peraturan kepada pihak penganjur supaya kami tahu latar belakang penceramah dijemput.

“Pihak JAIPk bukan berniat menyekat perkongsian ilmu agama, namun pihak kami khuatir ceramah yang diberikan mempunyai unsur yang tidak sahih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:44 AM