MUHAMMAD Sanusi menunjukkan laporan Sada mengenai gangguan bekalan air pada sambutan Aidilfitri yang lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
MUHAMMAD Sanusi menunjukkan laporan Sada mengenai gangguan bekalan air pada sambutan Aidilfitri yang lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan negeri itu mengalami krisis bekalan air sehingga hampir sejuta pengguna terjejas ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau berkata, hanya 7,222 akaun Syarikat Air Darul Aman (Sada) yang terjejas, berbanding jumlah keseluruhan 645,041 akaun di Kedah.

"(Baru-baru ini) ada akhbar melaporkan satu juta pengguna terjejas, ini memberikan gambaran keterlaluan. Kalau 7,222 akaun terjejas dan lima orang pakai satu akaun, baru 35,000 orang terjejas.

"Katakan anak ramai, 10 orang termasuk ibu bapa, baru lebih 70,000 orang terjejas. Angka satu juta pengguna terjejas datang dari mana?

"Ada sesetengah orang suka bising-bising, seolah-olah berlaku krisis besar air di Kedah, sedangkan dari segi peratusan hanya 1.12 peratus terjejas," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, Sada sentiasa komited membantu pengguna terjejas dengan menyediakan bantuan penghantaran air ke lokasi menggunakan lori, biarpun kosnya tinggi.

Katanya, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi tujuan itu sehingga Mac lalu dan beliau berharap pembinaan lima Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang berjalan dapat disiapkan mengikut jadual, supaya kos penghantaran bantuan air dikurangkan.

Pada 2018, kos bagi penghantaran bantuan air dapat dikurangkan kepada RM567,000 susulan pengoperasian sepenuhnya LRA Pokok Sena.

Bagaimanapun, beliau berkata, kos kembali meningkat selepas itu susulan kajian semula terhadap pembinaan lima LRA baharu oleh kerajaan ketika itu.

Muhammad Sanusi turut menafikan projek pembinaan lima LRA baharu sebagai perlahan dan tidak mencapai kemajuan seperti dakwaan.

"Contohnya untuk LRA Pelubang yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri, Bina Darulaman Berhad (BDB), kalau mengikut jadual, kontrak mereka kena capai 12.41 peratus tahap siap pada 30 April lalu.

"Tetapi kemajuan sebenar yang dicapai adalah 13.43 iaitu 1.02 peratus melebihi kadar ditetapkan. Begitu juga dengan LRA-LRA lain yang semuanya berada di landasan tepat, kecuali LRA Sungai Limau yang cuma lewat 0.41 peratus berbanding jadual asal," katanya.

Untuk projek yang lewat katanya, kerajaan negeri memanggil kontraktor bertanggungjawab supaya menyegerakan tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 7:21 PM