Sanusi Md Nor (dua dari kanan)  meninjau kejadian ban pecah di terusan tengah Sungai Santap, Pelubang, hari ini. FOTO M HIFZUDDIN IKHSAN
Sanusi Md Nor (dua dari kanan) meninjau kejadian ban pecah di terusan tengah Sungai Santap, Pelubang, hari ini. FOTO M HIFZUDDIN IKHSAN
Oleh M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Runtuhan ban terusan tengah di Sungai Santap, Pelubang dekat sini, berpotensi menyebabkan gangguan kepada bekalan beras negara berikutan pesawah tidak dapat memulakan kerja menanam padi di kawasan seluas 13,350 hektar ketika ini.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, air daripada terusan terbabit sepatutnya disalir ke kawasan sawah padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) namun ia tidak dapat dilakukan berikutan penurunan paras air.

Berikutan itu, jelasnya, kerajaan negeri berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Mafi) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat membantu membina ban lebih kukuh bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Ketika ini sepatutnya jadual air masuk ke petak sawah tetapi runtuhan ban menyebabkan air tidak dapat disalirkan ke kawasan tertentu. Jika proses baik pulih ban tidak dibuat dalam tempoh dua minggu, sawah seluas 13,350 yang mewakili kira-kira satu pertiga kawasan tanaman Mada akan turut terjejas.

"Jumlah pesawah yang terbabit pula kira-kira 40,000 orang dan mereka mampu mengeluarkan lebih 66,000 tan padi setiap musim. Ini babitkan soal keselamatan makanan dan kerana itu, Mafi serta MKN perlu beri perhatian segera.

"Kita mungkin perlu bina struktur lebih kukuh dan kemas untuk pertanian yang kosnya mungkin jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal pembaikan biasa iaitu RM1.5 juta hingga RM1.8 juta," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Pada kejadian kelmarin, ban terusan tengah milik Mada runtuh akibat peningkatan aliran air menyebabkan gangguan kepada lebih 80,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (Sada) terutamanya di Pokok Sena, Kota Setar, Pendang dan Yan.

Bagaimanapun, bekalan air kembali pulih secara berperingkat mulai semalam, selepas beberapa Loji Rawatan Air (LRA) dapat kembali beroperasi dan membekalkan bekalan ke daerah terbabit kecuali LRA Pokok Sena.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kerja membelat terusan terbabit juga sudah diselesaikan pada jam 12.20 tengah malam tadi, sebelum air yang ditakung di baraj Pelubang dapat dilepaskan pada jam 12.25 tengah malam bagi menaikkan kembali paras terusan.

"Tumpuan ketika ini adalah bagi memastikan semua LRA terutama LRA Pokok Sena dapat beroperasi kembali. Ketika ini, LRA Bukit Pinang dan Jenun Baru dapat beroperasi pada kapasiti 100 peratus, tetapi berlaku masalah tekanan air rendah di penghujung sistem.

"LRA Jenun Lama pula beroperasi pada tahap 70 peratus menyebabkan Sada masih meneruskan penghantaran air menggunakan lori tangki dan penggunaan tangki statik kepada 38,500 akaun pengguna Sada yang masih terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 4:44 PM