Nor Farhani Che Ad


GANGGUAN bekalan air membabitkan 11,000 akaun pengguna di Bukit Selambau dijangka selesai secara berperingkat dalam tempoh dua minggu ini.

Pengurus Kanan Wilayah Tengah Syarikat Air Darul Aman (SADA), Hizaruddin Razak berkata, ia berikutan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau yang terhenti sejak Khamis lalu, pulih bermula hari ini.

Katanya, kapasiti LRA itu setakat 12.30 tengah hari cecah 50 peratus.

“Paras sungai direkodkan 1.43 meter pada 8 pagi tadi (hari ini) berbanding 1.16 meter pada 4 petang semalam.

“Kita menjangkakan gangguan bekalan air akan dipulihkan dalam tempoh dua minggu dan dalam tempoh itu, akan ada pengguna menerima air lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Bersama Pemimpin Tempatan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok di Sungai Petani, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, R Summugam dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip.

Mengulas lanjut, Hizaruddin berkata, SADA menambah 15 lori bantuan air ke kawasan penduduk menjadikan keseluruhan 27 lori digerakkan sehingga hari ini.

Katanya, tiga unit lori tangki berkapasiti besar juga digunakan sebagai pembekal kepada lori air kecil bagi mempercepatkan agihan bekalan.

“Setiap kawasan lori tangki ini ditempatkan tangki statik untuk mengambil air terawat iaitu tiga tangki statik di Amanjaya Kemboja dan dua di Bukit Selambau,” katanya.

Beliau berkata, SADA juga menerima bantuan lori sukarela daripada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Pasukan Bomba Sukarela, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan orang perseorangan.

Sementara itu, Nor Azrina berkata, jadual penghantaran air akan dipantau oleh pemimpin setempat bagi melancarkan kerja penghantaran air.

“Langkah ini diharapkan supaya tiada pengguna yang tercicir daripada menerima bekalan air bersih,” katanya.

Sebarang aduan berkaitan boleh disalurkan ke Pusat Informasi SADA di talian 1-300-88-0017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 9:10 PM