GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kemarau menyebabkan tiga loji air di kawasan tengah Kedah mengalami penyusutan ketara sehingga menjejaskan lebih 3,000 akaun pengguna.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Noh berkata, loji yang paling terkesan adalah Loji Tupah yang sebelum ini mampu mengeluarkan 18 juta liter sehari, turun kepada hanya 10 juta liter sehari.

Katanya, Loji Merbok menyusut daripada tiga juta liter sehari kepada 0.96 juta liter sehari, manakala Loji Gurun pula menyusut daripada lima juta liter sehari kepada 3.2 juta liter sehari.

"Musim panas menyebabkan sumber air Gunung Jerai menjadi kering, kekurangan sumber air mentah ini memberi kesan kepada tiga loji berkenaan yang tidak mampu memaksimumkan pengeluaran air bersih.

"Selain itu, ketiadaan sumber air dari empangan bagi menyokong loji ini juga mengakibatkan pengurangan kuantiti dan tekanan sehingga air bersih tidak mampu disalirkan melalui paip.

"Ia seterusnya mengakibatkan agihan bekalan air bersih kepada pengguna terjejas di kawasan tinggi dan hujung sistem paip membabitkan kawasan di Merbok, Tanjung Dawai, Semeling, Gurun dan Bedong," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhamamd Sanusi yang juga Pengerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkata, ketika ini SADA terpaksa menggunakan 25 lori tangki berkapasiti 1,200 gelen air termasuk lori yang disewa bagi membawa bekalan air ke kawasan terjejas.

Katanya, tiga lori besar berkapasiti antara 11,000 hingga 13,000 gelen turut diguna bagi menghantar air mentah ke rumah rumah penduduk kawasan berkenaan selang sehari.

"Lori berkapasiti besar ini diguna bagi menghantar bekalan di Merbok antaranya di Taman Nelayan, Universiti AIMST, Taman Gurun Jaya, Taman Murni dan Bukit Bayu dengan agihan akan dibuat bermula jam 8 pagi hingga lewat malam.

"Penghantaran juga akan dibuat secara harian ke sekolah, klinik, masjid, surau, premis kerajaan dan awam selain tangki statik juga diletak di tempat yang terjejas," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kos penghantaran air tahun ini akan mencecah sehingga RM3 juta, melebihi kos tahun lalu, sekiranya musim kemarau terus berpanjangan.

Berikutan itu, pihaknya meminta pengguna bersabar sehingga lima loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Pelubang, Bukit Selambau, Sungai Limau, Lubuk Buntar Lama dan Jenun Baru siap dibina pada 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 7:19 PM