DATUK Salim Aman ketika ditemui pengamal media selepas Majis Perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi di sebuah hotel hari ini. FOTO Bernama
DATUK Salim Aman ketika ditemui pengamal media selepas Majis Perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi di sebuah hotel hari ini. FOTO Bernama
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) sudah menyerahkan pelbagai jenis data dan maklumat berhubung pencerobohan yang berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) dalam negeri ini kepada Kerajaan Negeri Johor.

Pengarah Perhutanan Negeri Johor Datuk Salim Aman berkata, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi menyelesaikan isu pencerobohan atau penerokaan HSK.

"Pencerobohan ini memang ada, terutama sekali yang dibuat oleh Orang Asli.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar juga sudah bertitah supaya kerajaan negeri ambil tindakan sewajarnya. Jadi, data-data kita sudah ada dan sudah angkat kepada kerajaan negeri untuk dapatkan hala tuju serta tindakan yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K Raven Kumar.

Sebelum ini, Salim dilaporkan berkata, lebih 10 kawasan di HSK dalam negeri ini dipercayai sudah diterokai oleh Orang Asli membabitkan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau dilaporkan berkata, HSK hanyalah kawasan rayau bagi Orang Asli mencari hasil serta memburu bagi kegunaan sendiri dan ia tidak boleh diterokai oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersil.

Pada 16 Mac lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah supaya kerajaan negeri meletakkan semula kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah 'Sultanate Land' supaya tidak ada pihak yang boleh berbuat sesuka hati, termasuk menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan itu untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

Salim menegaskan, tiada kawasan baharu yang dikesan terbabit dengan pencerobohan dan kawasan yang paling teruk terjejas setakat ini adalah di Bekok, Segamat.

Pada masa sama, Salim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan untuk dijadikan HSK pada masa akan datang.

"Setakat ini, HSK di negeri ini masih kekal (10 HSK) iaitu kira-kira 23 peratus daripada kawasan negeri ini yang berstatus hutan.

"Status ini stabil dalam tempoh lima tahun ini dan tiada pengurangan, malah kita akan tambah lagi HSK yang mana kita pun sudah kenal pasti beberapa kawasan.

"Kita kini dalam proses bekerjasama dengan Pejabat Tanah Daerah (PTD) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk wartakan kawasan baharu ini sebagai HSK," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Salim memberitahu, sehingga kini, hanya Taman Eko Rimba, Sungai Bantang di Segamat yang belum dibuka untuk orang awam memandangkan masih dalam proses penyelenggaraan kerana terjejas dengan tanah runtuh.

"Kita sedang selenggara dan baiki yang rosak, dalam masa terdekat, pada Jun atau Julai, kita akan buka (Sungai Bantang). Sebab ada sebahagian kawasan untuk orang awam mandi itu tertimbus, jadi kita perlu bersihkan semula, mungkin Jun atau Julai (siap)," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 2:33 PM