Nor Fazlina Abdul Rahim


Gua Musang: Teroka Hutan Simpan Kekal (HSK) secara haram dengan menanam kelapa sawit sebelum menjual tanah berkenaan pada harga rendah kepada orang ramai.

Itu antara taktik terbaru dilakukan sindiket pencerobohan HSK yang dikesan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK).

Difahamkan, sindiket berkenaan menawarkan harga hanya RM6,000 bagi 0.4 hektar kepada pembeli.

Pengarah JPNK Abdul Khalim Abu Samah ketika mendedahkan perkara itu berkata, walaupun tanah berkenaan dijual tanpa geran, permintaan yang diterima adalah tinggi.

Katanya, kebanyakan pembeli tertarik untuk membeli tanah berkenaan kerana harga yang ditawarkan murah selain sudah terdapat pokok kelapa sawit di kawasan itu.

"Ini antara taktik terbaru sindiket pencerobohan HSK yang kita kenal pasti. Mereka akan teroka terlebih dahulu sebelum menjual kepada orang ramai.

"Orang ramai pula menyangkakan tanah berkenaan adalah milik individu menyebabkan mereka membelinya walaupun tidak mempunyai geran, sedangkan ia adalah tanah HSK.

"Justeru, kita mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadi mangsa kepada sindiket berkenaan," katanya memaklumkan HSK yang diwartakan di Kelantan seluas 629,000 hektar.

JABATAN Perhutanan Kelantan menggunakan jentolak bagi memusnahkan tanaman sawit di Hutan Simpan Kekal yang diceroboh sindiket. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
JABATAN Perhutanan Kelantan menggunakan jentolak bagi memusnahkan tanaman sawit di Hutan Simpan Kekal yang diceroboh sindiket. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan operasi bersepadu pencerobohan HSK Relai, di sini, hari ini.

Terdahulu, anggota JPNK memusnahkan tanaman kelapa sawit membabitkan keluasan 20 hektar di HSK Relai yang diceroboh sindiket sejak dua tahun lalu.

Abdul Khalim berkata, pihaknya mendapati HSK berkenaan diceroboh sindiket dan ditanam dengan kelapa sawit.

"Justeru, kita mengambil pendekatan memusnahkan tanaman berkenaan sebelum kawasan itu ditanam dengan pelbagai spesis pokok hutan.

"Pada masa sama, kita juga mengenal pasti beberapa lokasi lain yang turut diceroboh dan dalam proses pemusnahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 5:21 PM