SULTAN Ibrahim Iskandar bertitah ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15. FOTO ihsan MEDKOM
SULTAN Ibrahim Iskandar bertitah ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15. FOTO ihsan MEDKOM
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Sultan Johor, Ibrahim Iskandar kecewa apabila terdapat Orang Asli yang menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda percaya, ada dalang membabitkan orang luar yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan menutup pencerobohan yang dilakukan.

Titah baginda, pencerobohan hutan adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan Orang Asli juga tidak terkecuali daripadanya.

"Saya merasa kecewa apabila ada segelintir Orang Asli yang membuka kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

"Malah, ada juga yang cuba menuntut 'kawasan rayau' yang tidak masuk akal. Kalau hendak diikutkan, semua yang ada di dalam dewan ini pun banyak tempat merayau.

"Suka saya ingatkan, walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi oleh Perlembagaan, mereka juga wajib patuh kepada undang-undang yang ada. Pencerobohan hutan adalah salah, dan Orang Asli juga tidak terkecuali," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, sejak dahulu lagi, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli di Johor dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pemberian bantuan bagi menaik taraf kehidupan mereka.

Titah baginda, kerajaan juga sudah menyediakan kawasan penempatan Orang Asli yang lebih tersusun dengan kemudahan bekalan air dan elektrik, serta kemudahan awam yang lain untuk memberikan keselesaan kepada mereka.

"Kerajaan mesti tegas dalam tindakan yang diambil dan membuat pemantauan secara berterusan untuk menjaga khazanah hutan dan melindungi hidupan liar.

"Saya menggesa kerajaan supaya meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah 'sultanate land' supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

"Jangan sampai pisang berbuah dua kali, mengulangi kesilapan dahulu seperti kes Orang Asli di Bekok," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 1:32 PM