SITI Zailah menjelaskan tindakannya mengambil air daripada pili bomba mendapat kebenaran daripada AKSB dan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang. FOTO Ihsan Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff
SITI Zailah menjelaskan tindakannya mengambil air daripada pili bomba mendapat kebenaran daripada AKSB dan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang. FOTO Ihsan Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menjelaskan tindakannya yang mengambil air dari pili bomba adalah selepas mendapat kebenaran Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata, tidak timbul atau berbangkit isu mengatakan beliau mencuri air kerana tujuannya berbuat sedemikian semata-mata mahu membantu rakyat.

"Tiada berbangkit isu curi air, kami membantu rakyat yang kecemasan memerlukan air. Air itu adalah air AKSB dan mendapat kebenaran daripada pihak mereka.

"Penggunaan pili bomba adalah dengan kebenaran dan pengetahuan daripada pihak Balai Bomba Rantau Panjang. Malah pihak bomba juga banyak membantu kami menghantar bantuan air ke premis seperti surau dan sekolah yang kecemasan memerlukan air.

"Jutaan terima kasih diucapkan atas kerjasama agensi-agensi kerajaan yang terbabit dalam membantu rakyat," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Beliau turut memaklumkan, kerja menggali telaga tiub untuk penduduk di Taman Rantau Mas juga sedang diusahakan.

"Semoga usaha ini dapat mengatasi masalah keperluan air yang dihadapi. Kami juga berusaha membantu penduduk yang memerlukan air dengan kebenaran pihak AKSB bagi mendapatkan bekalan air untuk dihantar ke kampung yang memerlukan.

"Dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang yang turut membantu kami dalam mendapatkan bekalan air AKSB melalui pili bomba berdekatan, ia memenuhi keperluan rakyat dengan segera," katanya.

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan seorang Ahli Parlimen pembangkang di Kelantan yang menggunakan air dari pili bomba bagi mengatasi masalah bekalan air penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 8:54 PM