SITI Zailah menjelaskan tindakannya mengambil air daripada pili bomba mendapat kebenaran daripada AKSB dan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang. FOTO Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff
SITI Zailah menjelaskan tindakannya mengambil air daripada pili bomba mendapat kebenaran daripada AKSB dan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang. FOTO Facebook Siti Zailah Mohd Yusoff
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pengambilan air dari pili bomba yang dihantar ke kampung terjejas di Rantau Panjang adalah untuk menjimatkan masa.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, bekalan air juga dapat dihantar dengan cepat kepada puluhan kampung yang terjejas dengan gangguan bekalan air.

"Alhamdulillah, air itu kita dapat daripada sumber Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), tetapi untuk menjimatkan masa dengan cepat maka (kita) ambil air itu melalui pili bomba yang berdekatan.

"Ambil air itu dengan kebenaran AKSB sebab kita bermesyuarat dengan Exco, pihak pengurus besar dan jabatan air bagaimana kita mengambil air (pili bomba)," katanya menerusi TikTok Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), hari ini.

Siti Zailah yang lebih mesra dengan nama Kak Lah berkata, isu ketiadaan air dalam kalangan penduduk menyebabkan beliau terpaksa berusaha menggunakan pelbagai inisiatif.

Menurutnya, beliau membantu pihak AKSB untuk menghantar air kepada penduduk berikutan lori air turut berdepan kesesakan jalan raya di musim perayaan baru-baru ini.

"Lori (angkut air) ni besar dan berat. Jadi sebab itu kita bincang dengan pihak AKSB bagaimana (nak selesai) supaya tidak mengganggu laluan lalu lintas orang ramai.

"Jadi pihak AKSB cadang supaya manfaatkan pili bomba sebab di Kelantan berbeza dengan negeri lain kerana pili bomba dan air AKSB menggunakan saluran yang sama.

Negeri lain saluran paip bomba berbeza dengan saluran bekalan air.

"Jadi tidak ada isu sebenarnya... orang tempatan semua tahu tidak ada kecurian air, kalau nak curi pun bukan curi untuk Kak Lah tetapi untuk rakyat yang memerlukan," katanya.

Katanya, pili bomba di negeri ini tiada bekalan air sendiri kerana ia menggunakan air AKSB jika berlaku kebakaran.

Media sebelum ini melaporkan, Siti Zailah didakwa mencuri air dengan mengambil bekalan berkenaan dari pili bomba sebelum dihantar ke kampung terjejas.

Bagaimanapun, Siti Zailah menafikan perkara berkenaan dengan mendakwa tindakannya mendapat kebenaran AKSB serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 4:02 PM