Mohd Azli menyusun botol dan bekas yang digunakan bagi menadah air di pili awam Pekan Tanjong Karang, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Mohd Azli menyusun botol dan bekas yang digunakan bagi menadah air di pili awam Pekan Tanjong Karang, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Rata-rata penduduk di negeri ini sudah muak dan jemu dengan masalah ketiadaan bekalan air hingga menyukarkan urusan harian mereka.

Malah, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemilik kilang dan kawasan perindustrian yang melakukan pencemaran menambah lagi kemarahan mereka yang sekian lama terpendam.

Penduduk di Taman Desa Mawar, Sungai Yu, Mohd Azli Tamami, 49, berkata, hari ini sahaja beliau berulang-alik sebanyak dua kali untuk mengambil air di pili awam Pekan Tanjong Karang.

"Saya dapat tahu air tak ada selepas menunaikan solat Subuh. Jadi, saya ambil inisiatif kumpulkan botol dan bekas untuk menadah air.

"Saya terkilan masalah air ini berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sebelum ini, jika air tiada, saya sekeluarga sanggup pergi ke Teluk Intan, Perak dan bermalam di sana semata-mata (untuk dapatkan air)," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor digesa bertindak lebih tegas dalam menyelesaikan isu ini yang dilihat semakin berlarutan.

"Kerap kali bekalan air terputus dan menyusahkan penduduk. Semua tahu air adalah keperluan utama.

"Pencemaran kali ini memberi kesan kepada semua pihak, harap tindakan tegas dapat diambil," katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Asmilah Hamzah, 48, dia berharap isu itu dapat diselesaikan dengan segera.

"Kerajaan Negeri perlu ambil tindakan lebih drastik ke atas pencemar sungai ini. Kasihanlah kepada penduduk, gara-gara satu pihak, semua mendapat kesannya. Ketiadaan air memang menjadi bebanan kepada kami, tolonglah selesaikan segera," katanya.

Media melaporkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air di Sungai Selangor yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, henti tugas di empat loji berkenaan menyebabkan 1,292 kawasan membabitkan 1,196,457 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Menurutnya, gangguan itu membabitkan kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 7:48 PM