Mohd Amin Jalil


Seremban: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung dakwaan Ahli Parlimen pembangkang mencuri air dari pili bomba.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, JBPM boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

"Mana-mana pihak atau individu yang mencuri air daripada pili bomba tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

"Mereka yang ingin berbuat demikian perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak bomba. Ia penting kerana apabila berlaku kejadian kebakaran, pihak bomba akan mengalami kesukaran dari segi tekanan dan isipadu air sekali gus boleh menjejaskan kepentingan keselamatan rakyat.

"Tahun lalu sahaja kehilangan harta akibat kebakaran mencecah RM1.3 bilion dan ini satu perkara yang cukup serius. Oleh itu saya serahkan kepada JBPM untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan (kes Ahli Parlimen mencuri air) mengikut peruntukan akta," katanya selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, di sini, tadi.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.

Kor Ming mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang didakwa menyediakan penghantaran air percuma di kawasan Parlimen berkenaan dengan menyediakan lori tangki besar dan pam penyedut dengan mengambil air dari pili bomba sebelum dihantar ke kampung terjejas.

Bagaimanapun, Siti Zailah menafikan mencuri air daripada pili bomba sebaliknya mendakwa tindakannya itu mendapat kebenaran pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta JBPM Kelantan.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan kompaun RM100 hingga RM500, namun jika kesalahan kedua tidak boleh dikompaun dan akan didakwa di mahkamah.

Beliau menggesa individu terbabit supaya memohon maaf kepada JBPM dan tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.

"Ahli Parlimen berkenaan mendakwa mendapat kebenaran daripada bomba, tapi dalam siasatan dan Pengarah JBPM negeri sudah mengesahkan bahawa tiada sebarang kebenaran diberikan.

"Jadi, kelakuan ini tidak baik dan saya serahkan kepada pihak bomba untuk jalankan siasatan lanjut dan ambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 3:43 PM