Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turun meninjau kebakaran yang berlaku di SK Permatang Tok Kandu di Permatang Pauh yang telah memusnahkan lima bilik darjah. FOTO  Nur Izzati Mohamad
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turun meninjau kebakaran yang berlaku di SK Permatang Tok Kandu di Permatang Pauh yang telah memusnahkan lima bilik darjah. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Permatang Pauh: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan penilaian kerosakan secara keseluruhan yang dialami Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu, di sini, susulan kebakaran yang memusnahkan lima bilik darjah sekolah berkenaan, petang tadi.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, penilaian kerosakan itu mengambil masa sekurang-kurangnya 14 hari sebelum pihaknya meluluskan bantuan bencana terhadap sekolah terbabit.

Katanya, ibu bapa juga tidak perlu risau memandangkan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan berjalan seperti biasa namun mengikut mekanisme sementara yang akan dimaklumkan kelak.

"Di peringkat KPM, kita akan berbincang dengan pihak sekolah untuk beberapa perkara dan tindakan pertama berkaitan tentang penilaian keseluruhan kerosakan.

"Tindakan kedua adalah penerusan pendidikan anak-anak yang saya fikir antara jaminan yang perlu kita berikan kepada ibu bapa bahawa mereka akan belajar dalam apa keadaan sekalipun, cuma mekanisme itu kita akan pastikan samaada PDPR (Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) atau kelas berganti dan sebagainya yang akan ditentukan bersama perbincangan dengan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan JPN (Jabatan Pendidikan Daerah)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi meninjau dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden berkenaan, di sini, hari ini.

Jelasnya, blok yang terbabit dengan kebakaran akan ditutup bagi tujuan keselamatan namun bagi sesi P&P akan ada ruang tambahan digunakan bagi membolehkan murid terus mendapat akses pendidikan.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, buat sementara waktu tindakan untuk memastikan keselamatan keseluruhan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memeriksa pendawaian elektrik di sekolah itu sedang dilaksanakan.

"Jadi, kita mohon untuk Guru Besar dan waris murid untuk bersabar dan bagi kita ruang untuk melaksanakan tugas-tugas memastikan keselamatan keseluruhan premis sekolah ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang tadi, lima bilik darjah sekolah berkenaan dilaporkan terbakar dan ketika kejadian tiada murid manakala guru pula berada di bilik guru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 8:53 PM