Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Lenggong: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada mana-mana daripada 30 Ahli Parlimen BN yang mahu mengosongkan kerusi disandang, seperti desas-desus tersebar mutakhir ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sudah melakukan kaji selidik terhadap setiap Ahli Parlimennya sejak mula khabar akhir tersebar yang mendakwa 13 Ahli Parlimen akan meletak jawatan bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun saya mendengar daripada awal ada 13 orang (Ahli Parlimen) yang mahu meletakkan jawatan dan kemudian angka itu meningkat kepada 15 orang. Saya telah melakukan kaji selidik terhadap tiap-tiap seorang dari Ahli Parlimen itu.

"Saya ingin sahkan tidak ada seorang pun Ahli-ahli Parlimen BN apatah lagi daripada Umno yang mahu meninggalkan dan mengosongkan kerusi," katanya ketika berucap di hadapan ribuan hadirin di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Umno Perak di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno turut optimis bahawa kerajaan perpaduan BN-PH kini tidak tergugat dengan cubaan menjatuhkannya, bersandarkan sokongan 148 Ahli Parlimen iaitu sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

"Dengan tidak bersikap sombong, takabur dan ujub, kita merasakan bahawa sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11), tidak ada kerajaan di Malaysia yanh dapat membentuk dalam dua per tiga.

"Atas rasa kita kini berada di kestabilan politik memandangkan 148 yang menyokong kerajaan sekarang, maka saya ingin menyatakan di sini bahawa BN sangat komited untuk terus bersama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) untuk mempertahankan kerajaan sekarang," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis, Ahmad Zahid menasihati pembuat fitnah yang mendakwa beliau sendiri akan melancarkan kempen "UMNO Sayang DAP", agar segera bertaubat sempena Syawal yang mulia ini.

"Hentikanlah kerja-kerja fitnah ini sebab zaman sekarang orang ramai boleh bezakan siapa yang memfitnah dan siapa yang bercerita betul... Ini taktik yang dimainkan pembangkang dari dulu sampai sekarang," katanya yang diperlihatkan gambar tular itu yang mendakwa Ahmad Zahid akan melancarkan kempen yang akan menyakinkan akar umbi Umno bahawa DAP bukanlah seburuk disangka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 5:24 PM
AHMAD Zahid mengesahkan tiada Ahli Parlimen BN yang akan meruntuhkan Kerajaan Perpaduan dengan meletak jawatan. FOTO Bernama.
AHMAD Zahid mengesahkan tiada Ahli Parlimen BN yang akan meruntuhkan Kerajaan Perpaduan dengan meletak jawatan. FOTO Bernama.