WAN Ahmad Fayhsal pada sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini. FOTO Genes Gulitah.
WAN Ahmad Fayhsal pada sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, hari ini. FOTO Genes Gulitah.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Kerajaan Perpaduan terdiri daripada gabungan Umno dan PH di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Anwar Ibrahim 'cemburu' dengan hubungan akrab yang terjalin dalam Perikatan Nasional (PN) di negara ini.

Ketua Armadanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kepimpinan Umno di bawah pimpinan presidennya kini sedang berada di ambang perpecahan dan akan tumbang sendiri.

Katanya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dan Umno akan 'diajar' oleh ahli Umno sendiri dengan menterjemahkan sokongan padu mereka kepada PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Presiden Umno kata PN akan berpecah? Ini adalah kata-kata cemburu dengan ummah (hubungan rapat) PN.

"Kita tengok semua jamuan majlis raya dibuat PN, mereka yang hadir lebih berkali ganda berbanding anjuran Zahid di Bagan Datuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bagi menemani Setiausaha Sulit, Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat laporan, di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, terdapat peralihan terhadap Zahid yang jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan beliau terhadap Umno dan BN.

"Sebenarnya, saya ada dengar daripada ramai ahli Umno bahawa mereka sangat marah (dengan Zahid) tetapi takut mencabar presiden Umno itu.

"Tetapi tunggulah mereka akan tunjukkan sabotaj mereka dalam PRN akan datang. Akar umbi Umno dan BN akan undi PN kerana mereka tidak boleh menerima perselingkuhan yang ada pada hari ini antara BN dan PH," katanya.

Beliau juga mendakwa parti komponen BN iaitu MCA dan MIC juga tidak akan memiliki kerusi di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Malah, beliau juga mencabar Umno di Selangor yang didakwa tidak akan mendapat banyak kerusi untuk bertanding pada PRN kali ini.

"Berapa banyak bahagian Umno di Selangor akan dapat kerusi mereka, pergilah minta dengan DAP, Amanah dan PKR, saya jamin Umno akan dapat kerusi paling sedikit di semua negeri khususnya di Selangor pada PRN nanti.

"Jadi akan ada pemberontakan dalaman berlaku (tuntutan kerusi bertanding) sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan dan kami di Perikatan Nasional akan sedia bantu 'mentalkinkan' Umno di Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 2:26 PM