Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Identiti empat kru yang hilang bersama bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor dikenal pasti sebagai Fatimah Razak, 36, Zaharin Baharudin 37, Halim Sanip, 52, dan Marzuki Jusuh, 53.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengesahkan empat kru berkenaan adalah rakyat Malaysia.

"Satu laporan berkenaan insiden kegagalan mengesan bot peronda perikanan PL 87 pada 28 Februari, jam 12.45 tengah hari.

"Empat kru diketuai Fatimah berlepas dari Tanjung Pengelih dalam perjalanan balik ke pangkalan di Tampoi, bagaimanapun bot itu tidak dapat dihubungi atau dikesan di perairan berkenaan," katanya dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, laporan polis dibuat pada 11.59 malam.

"Operasi Carilamat diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM), Pusat Komand Operasi Polis (POCC) Singapura dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia.

"Saya sendiri sudah menghubungi dan bercakap dengan semua waris mangsa pagi tadi dan mengarahkan Jabatan Perikanan untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada semua waris mangsa," katanya.

Katanya, beliau ingin mengajak semua rakyat Malaysia mendoakan keselamatan mereka dan berharap semua mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat.

MOHAMAD Sabu (dua, kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Logistik APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan (kanan) selepas sidang media mengenai kehilangan sebuah bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Sabu (dua, kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Logistik APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan (kanan) selepas sidang media mengenai kehilangan sebuah bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru di Bangunan Parlimen. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, mengikut maklumat terakhir mengenai lokasi bot PL87 yang diperoleh daripada Polis Pesisir Pantai Singapura, bot berada sekitar perairan Tuas, Singapura pada jam 3 petang semalam.

"Bot ini menghala ke Tanjung Piai sebelah barat, lebih kurang lingkungan lima batu nautika di perairan Tuas jam 3 petang.

"Buat masa ini, kita belum membuat sebarang kesimpulan, sebaliknya kemungkinan bot ini berlaku kerosakan dan hanyut," katanya.

Menurutnya, cuaca di perairan selatan Johor amat teruk pada petang semalam.

"Ada kebarangkalian bot ini berlaku kerosakan atau ia dihanyut ke perairan antarabangsa.

"Bot berkenaan adalah bot penguatkuasaan, sebenarnya bot itu akan menjalani rondaan bersama Pasukan Polis Marin semalam tetapi semua bot peronda kita dan perlu hadir ke Tampoi sebagai pusat operasi di situ, namun gagal," katanya.

Katanya, empat kapal dan sebuah helikopter APMM digunakan untuk mencari empat kru ini disertai dua aset bot dari Pasukan Polis Marin, satu aset dari Jabatan Perikanan dan satu aset dari Polis Pesisir Pantai Singapura.

"Kita juga bertukar maklumat dengan pihak Indonesia Basarnas.

"Kawasan pencarian sehingga jam 12 tengah hari tadi, sudah meliputi seluas 47 batu nautika di laut manakala udara seluas 46 batu nautika.

"Cuaca buat masa ini di selatan Johor masih hujan dan tahap penglihatan amat terhad dan sedikit sebanyak menyukarkan pencarian kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 3:30 PM