Mohd Akmal (kanan) dan Mohamad Firdaus ketika melalui sempadan antara Austria dan Republik Czech. FOTO ihsan Mohd Akmal
Mohd Akmal (kanan) dan Mohamad Firdaus ketika melalui sempadan antara Austria dan Republik Czech. FOTO ihsan Mohd Akmal
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Dua sahabat yang berkongsi minat sama, mencabar keupayaan diri mencuba berbasikal di beberapa negara di Eropah sejak pertengahan Julai lalu dengan hanya berbekalkan kos RM1,350 (300 euro) seorang selama 46 hari sejak 19 Julai lalu.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah, Mohd Akmal Azmy, 27, dan Mohamad Firdaus Shamsudin, 27, memulakan misi kayuhan dianggarkan sejauh 2,337 kilometer bermula di Frankfurt di Jerman, Switzerland; Milan dan Venice di Itali; Slovenia, Austria dan Republik Czech dan dijangka menamatkan misi pengembaraan berbasikal itu dalam masa terdekat.

Mohd Akmal ketika dihubungi Harian Metro di Republik Czech berkata, dia bersama Mohamad Firdaus yang berniaga sendiri melakukan misi kayuhan secara santai kerana matlamatnya selain mahu mencabar keupayaan diri masing-masing mereka juga mahu beramah mesra penduduk di negara berkenaan.

Katanya, kos RM1,350 itu tidak termasuk tambang penerbangan.

"Sepanjang berada di negara berkenaan, kami menggunakan khemah sebagai tempat penginapan.

"Kami juga memilih tempat tinggal yang kebanyakannya dicari secara ‘couchsurfing’, iaitu aplikasi dalam talian yang membolehkan ahli menginap sebagai tetamu di rumah orang di merata tempat di dunia tanpa sebarang pertukaran wang kecuali untuk makanan dan perbelanjaan lain," katanya yang juga penuntut Institut Teknologi Kejuruteraan Marin, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIMET).

Ketika ditanya mengenai bekalan makanan, katanya, dia dan rakannya masak sendiri termasuk mi segera Maggi selain bergantung sepenuhnya kepada pemilik tempat tinggal yang mereka tumpang itu memberi makan minum sepanjang mereka menginap di kediamannya.

Katanya, idea untuk melakukan pengembaraan berbasikal ke negara berkenaan tercetus pada awal tahun lalu berikutan mahu mengisi masa terluang pada cuti semester dengan melakukan sesuatu yang mencabar membabitkan kayuhan berbasikal.

"Setiap kali cuti semester kami akan melakukan misi seperti ini untuk mencabar keupayaan kami berbasikal memandangkan kami memang meminati sukan ini. Perancangan bermula sejak 2014 lalu apabila kami melakukan misi kayuhan berbasikal di Busan, Pulau Jeju dan Selatan Korea selama 15 hari.

"Ia kemudiannya diteruskan dengan menumpukan negara seperti London, Paris, Brussels, Amsterdam, Rotterdam, Edinburgh, Glasgow pada tahun lalu dalam tempoh 64 hari.

"Kami nekad berbuat demikian kerana sukakan cabaran dan memegang prinsip tidak mudah menyerah kalah, jadi kami tidak mahu melepaskan peluang yang ada terutama untuk mencari pengalaman berharga pada cuti semester untuk melakukan misi seperti ini di negara luar," katanya.

Katanya, perjalanan mereka bermula dengan membawa basikal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat penerbangan Vietnam Airlines dan penerbangan lanjutan atau transit di Ho Chi Minh, Vietnam selama dua jam sebelum selamat tiba di Lapangan Terbang Frankfurt.

"Setibanya di lapangan terbang itu kemudiannya kami memulakan misi kayuhan di beberapa lokasi di negara berkenaan. Basikal yang kami bawa adalah ‘mountain bike' dan diubahsuai kepada basikal jenis 'touring bike'," katanya.

Katanya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah berbasikal di pergunungan Alps, Switzerland di mana dia dan rakannya melalui laluan sukar iaitu curam dan berbatu serta menempuh cuaca sejuk kira-kira 10 darjah celcius.

"Kami hampir putus asa namun berjaya melepasinya. Alhamdulillah, setakat ini tiada kejadian tidak diingini berlaku dan sehingga kini kami dalam keadaan baik.

"Semoga kami selamat sampai ke tanah air dalam masa terdekat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 6:39 PM