Mayat Muhammad Yusuf Khairuddin, 9, yang ditemui lemas ketika berkelah bersama keluarganya di Loji Air Sungai Limau, Kupang. FOTO IHSAN BOMBA
Mayat Muhammad Yusuf Khairuddin, 9, yang ditemui lemas ketika berkelah bersama keluarganya di Loji Air Sungai Limau, Kupang. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Baling: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan lemas ketika berkelah bersama keluarganya di Loji Air Sungai Limau, Kupang, di sini hari ini.

Kanak-kanak itu dan keluarganya yang menetap di Petaling Jaya, Selangor dipercayai pulang ke kampungnya di sini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum berkelah di kawasan itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat Muhammad Yusuf Khairuddin ditemui di dasar sungai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kali terakhir kanak-kanak itu dilihat.

Menurutnya, anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.10 petang hari ini memaklumkan kanak-kanak terbabit disyaki lemas di lokasi kejadian.

"Tempat kejadian itu adalah sebatang sungai yang terletak di Kampung Sungai Limau, Kupang yang terletak bersebelahan kawasan pam sedut ban pasir.

"Menurut ibu mangsa, mereka pergi berkelah di kawasan itu pada jam 11 pagi bersama kakak iparnya biras dan lima orang anak termasuk mangsa," katanya.

Katanya, sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 39 tahun sedang menyuap makanan kepada tiga anaknya yang msih kecil di tepi sungai berkenaan.

"Jarak tempat terakhir mangsa di lihat dan kedudukannya hanya kira-kira 10 meter sahaja.

"Ibu mangsa memaklumkan, lima anaknya sedang mandi ketika itu termasuk mangsa yang turun ke sungai untuk mandi.

"Namun, tidak lama kemudian, ibu mangsa tersedar anaknya itu tiada di sungai berkenaan dan segera naik ke tebing sungai mencari di kawasan sekitar terbabit," katanya.

Shamsudin berkata, ibu mangsa juga turut mencari anaknya itu di rumah saudara-mara berhampiran tetapi masih tidak ditemui.

Katanya, ibunya dimaklumkan oleh anak perempuannya yang berusia 13 tahun yang dia ternampak adiknya menuju ke arah saluran paip sedut ban pasir sebelum mangsa disedari hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan pelbagai agensi termasuk polis, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling, mangsa akhirnya ditemui.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dilakukan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.41 petang berhubung kejadian mangsa lemas di Kampung Sungai Limau, di sini.

Jurucakap itu berkata, mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui pada jam 4.50 petang.

Mangsa kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada pihak polis pada jam 5 petang untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 8:56 PM