LOKASI kejadian kanak-kanak ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali. FOTO ihsan bomba
LOKASI kejadian kanak-kanak ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Kubu Bharu: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemui mati lemas di Sungai Kedondong, Jalan Batang Kali, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarudin berkata, setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam pada 4 petang memaklumkan kanak-kanak lelaki dihanyutkan arus di Sungai Kedondong dan 12 anggota segera ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa bersama ibu berusia 31 tahun dan bapanya berusia 47 tahun dari Kuala Lumpur datang berkelah di sungai berkenaan, pada 3 petang.

"Ketika mandi di dalam sungai secara tiba-tiba mangsa dibawa arus dan ibu bapa mangsa yang panik meminta bantuan orang awam untuk menghubungi polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba dipanggil bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Operasi mengambil masa selama dua jam sebelum mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira 350 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan mangsa dikhuatiri lemas, manakala empat individu lain termasuk dua wanita sempat diselamatkan selepas dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 10:46 PM