MUHAMMAD Faqih (kiri) berjaya ditemui manakala bapanya, Mohd Fairuz (kanan) masih hilang. FOTO IHSAN KELUARGA
MUHAMMAD Faqih (kiri) berjaya ditemui manakala bapanya, Mohd Fairuz (kanan) masih hilang. FOTO IHSAN KELUARGA
Mohd Sabran Md Sani dan Badrul Kamal Zakaria


SEORANG ibu hanya mampu meraung memanggil nama anaknya sebaik melihat pasukan penyelamat membawa jenazah kanak-kanak itu yang dibaluti plastik selepas lemas di Sungai Muar, petang semalam.

“Faqih, kenapa tinggalkan mak, nak,” demikian tangisan penuh hiba ibu kepada Muhammad Faqih Mohd Fairuz, 7, sejurus jenazah anak lelakinya berjaya ditemui, petang tadi.

Penantian penuh harapan ibu kepada tiga anak mengenai penemuan kanak-kanak itu dan bapanya yang dikhuatiri lemas sejak jam 6.30 petang berakhir apabila jenazahnya ditemui 20 jam selepas kehilangannya.

Detik penuh debaran bermula selepas pasukan penyelamat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 7 pagi menemukan mayat kanak-kanak itu di kawasan Sungai Muar berhampiran Marina Bay pada jam 2.40 petang.

Emosi penuh sebak itu menjentik hati orang ramai dan ahli keluarga apabila ibu kanak-kanak itu hanya mampu meraung sebaik melihat jenazah anaknya diangkat ke jeti sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Muar untuk bedah siasat.

Bapa saudara mangsa, Mohd Zaki Mohamad Hasan, 37, yang sepupu kepada Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashin, 36, yang turut dikhuatiri lemas dalam kejadian itu berkata, dia mengetahui kejadian membabitkan dua beranak itu pada jam 5 petang semalam.

Katanya, abang kepada anggota polis itu memaklumkan adik dan anak saudaranya lemas di Sungai Muar.

“Dia beritahu supaya saya tengok andak (gelaran sepupu) yang lemas.

“Saya kemudian bergegas dari Semerah, Batu Pahat dan setibanya di lokasi kejadian didapati kawasan itu penuh dengan anggota bomba dan polis,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ketika itu ahli keluarga mangsa sudah berada di kawasan berkenaan.

“Saya yang datang semula petang ini sempat melihat detik jenazah anak saudaranya itu diangkat menaiki kenderaan polis ke hospital,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kali terakhir mereka bertemu pada Syawal kelima ketika mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kampung Lubuk, Semerah, Batu Pahat.

“Ketika itupun Mohd Fairuz kelihatan lain dan banyak diam berbanding perwatakannya yang peramah dan suka berbual.

“Sikap sepupu saya ini turut disedari ahli keluarga lain apabila berkongsi isu sama mengenai perangai pendiam ahli keluarga mereka menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.

Katanya, dia tidak menolak sikap pelik itu antara petanda kejadian kehilangan dua beranak, sejak petang semalam.

Terdahulu, pasukan SAR menemui mayat seorang daripada dua beranak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Muar.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, Muhammad Faqih ditemui pasukan SAR di kuala Sungai Muar berhampiran Marina Bay.

Katanya, mayat kanak-kanak itu ditemui pada jarak satu kilometer daripada lokasi kejadian.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, seorang anggota polis bersama anak lelakinya dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Muar.

Dalam kejadian itu, bapa mangsa dilaporkan terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 7:48 PM