FATIMAH Hamid Don. FOTO Facebook Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu UM
FATIMAH Hamid Don. FOTO Facebook Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu UM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Profesor wanita Melayu pertama yang juga mantan Dekan Universiti Malaya (UM), Puan Sri Prof Dr Fatimah Hamid Don dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawakal di sini, awal pagi ini.

Balu kepada Allahyarham Tan Sri Ishak Pateh, berusia 89 tahun itu, menghembuskan nafas terakhir pada 2.35 pagi.

Jenazah dijangka dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, pada 10 pagi ini.

Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya, untuk dikebumikan selepas solat Zuhur.

Allahyarhamah yang berasal dari Batu Gajah, Perak, memperoleh Ijazah Kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) dari Universiti California, Amerika Syarikat pada 1971.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Fakulti Pendidikan, UM, dan dinaikkan pangkat kepada Prof Madya pada 1974 serta dilantik menjadi Dekan (1975) sebelum bersara sebagai Profesor pada 1990.

Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum merangkap Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan.

Sumbangan beliau sangat besar terhadap bidang pendidikan di Malaysia apabila aktif dalam membangunkan dasar dan menaik taraf kehidupan golongan wanita.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pakar dan menjadi ahli jawatankuasa dalam pelbagai organisasi serta pertubuhan selain dilantik sebagai penasihat bagi beberapa organisasi pendidikan.

Fatimah dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran, antaranya Darjah Setia Diraja Kedah; Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia dengan gelaran Srikandi; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Perguruan Sultan Idris dan Profesor Emeritus oleh UM.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau diberi pengiktirafan Pi Lambda Theta (daripada Alpha Delta, University of California, Los Angeles, 1971), Citizen of the Age of Enlightenment Award (World government of the Age of Enlightenment-Maharishi European Research University, 1976), Honorary Fellowship of the International Understanding Honor Society, Ohio University, Athens (1985) dan menjadi ahli seumur hidup International Council on Education for Teaching, Washington DC, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 9:59 AM