Md Amin (tengah) menerima buku Pelan Strategik (2021-2025) yang dilancarkannya  selepas menyampaikan amanat di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO IHSAN UPSI
Md Amin (tengah) menerima buku Pelan Strategik (2021-2025) yang dilancarkannya selepas menyampaikan amanat di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah. FOTO IHSAN UPSI
Amir Abd Hamid


Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menubuhkan Fakulti Komputeran dan Teknologi Digital, selaras dengan hasrat kerajaan merealisasikan pendigitalan pendidikan.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penubuhan fakulti itu bakal menjadikan universiti pendidikan itu menerajui inisiatif pemerkasaan pendigitalan pendidikan negara.

Menurutnya, berikutan itu UPSI juga akan membuat rombakan kurikulum dalam pengajaran.

"Rombakan kurikulum itu bersandarkan kepada lima teras iaitu keinsanan dan kenegaraan, teknologi digital, kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan pengantarabangsaan.

"Sudah sampai masanya UPSI mencipta legasi baharu dan mencapai impian besar menzahirkan imej sebuah universiti pendidikan yang unggul di negara ini.

"Malah hingga ke peringkat antarabangsa dalam mencapai sasaran sebagai antara 100 universiti terbaik dunia pendidikan menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2022 bertemakan 'Peneraju Kebitaraan Pendidikan' di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini.

Md Amin berkata, beliau percaya sasaran UPSI bakal tercapai berikutan universiti itu melahirkan tokoh akademik tersohor seperti Prof Madya Dr Rozaimie Ramli yang dilantik sebagai Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Nama-nama lain ialah Datuk Dr Anhar Opir (Mufti Selangor), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran (Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia ) dan Prof Madya Datuk Dr Junaidi Abu Bakar sebagai Pakar Rujuk Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Sepanjang tahun lalu, UPSI mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi berikutan berjaya menjana dana geran penyelidikan lebih RM 8.3juta.

"UPSI harus keluar daripada kepompong lama untuk berani meneroka isu terkini dengan idea baharu bagi memperkasakan pendidikan termasuk bekerjasama dengan Amazon dan Google serta menubuhkan sekolah makmal Neoteric Education Initiative Centre (NICE) sebagai pusat mengembangkan idea pengajaran menjelang Disember ini," katanya.

Katanya, tahun ini UPSI akan membina Residential & Community Centre (URCC) yang mampu menampung 3,500 pelajar serta memberi peluang kepada lebih 100 pelajar B40 dan asnaf menjalankan aktiviti keusahawanan.

Sementara itu, pada majlis amanat yang disampaikan secara hibrid dan disaksikan hampir 19,000 secara dalam talian (FB live), Md Amin turut melancarkan Buku Pelan Strategik (2021-2025).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 6:41 PM