Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Jenazah ibu dan anak ketiga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor dekat Cheneh, Chukai semalam selamat dikebumikan dalam satu liang hari ini.

Jenazah Rosliza Mat Hussin, 38, yang juga anak ketiga daripada enam beradik dikebumikan bersama ibunya, Tuan Yah Tuan Dollah, 61, dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan IslamKampung Chabang Tiga, Kampung Oh, Jabi, Besut kira-kira jam 7.30 pagi.

Kedua-dua jenazah dibawa pulang dari Hospital Kemaman sebelum disolatkan di rumah keluarga mereka di Kampung Gong Kubur, Chabang Tiga Oh, Jabi, di sini pada jam 6.30 pagi.

Rosliza lebih dikenali dengan panggilan Kak Ja meninggalkan tiga anak hasil daripada perkahwinan pertamanya.

Semalam, dilaporkan enam individu maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Proton Persona pada 5 petang.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dikatakan terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dikenal pasti Tuan Yah Dollah, 61; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2; Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23, dan Abdul Halim.

Dua lagi mangsa iaitu Nur Alisha Mardiah dan Rosliza Mat Hussin, 38, pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 6:21 PM
Jenazah ibu dan anak selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chabang Tiga, Kampung Oh, Jabi kira-kira jam 7.30 pagi. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Jenazah ibu dan anak selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chabang Tiga, Kampung Oh, Jabi kira-kira jam 7.30 pagi. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI