Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: "Arwah sempat meluahkan hasrat mahu mati syahid kepada sepupunya sebelum Aidilfiltri," kata Mat Hussin Hamat.

Mat Hussin, 62, ayah kepada Rosliza, 38, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur dekat Cheneh di Chukai, semalam.

Tiga lagi ahli keluarga Rosliza yang maut dalam kejadian itu adalah Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2, dan Tuan Yah Tuan Dollah, 61.

Menurutnya, arwah anaknya itu sempat meluahkan hasrat mahu mati syahid kepada beberapa orang sepupunya namun bukan dalam tempoh terdekat kerana masih belum bersedia.

Kata Mat Husin lagi, arwah anaknya itu bersama Tuan Yah yang juga bekas isterinya pergi ke Cheneh pada hari raya kedua bersama sepupu arwah.

"Selain mahu mengunjungi saudara, Rosliza mahu mengambil dua anaknya yang tinggal bersama bekas suaminya untuk di balik berhari raya ke Besut.

"Namun sebelum pulang ke sini, mereka sempat pergi berkelah di kawasan perkelahan Bukit Besi, Dungun.

"Ketika kejadian itu, mereka dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat berkelah di Bukit Besi untuk balik semula ke rumah di Cheneh," katanya ketika ditemui di Kampung Gong Kubur, Chabang Tiga Oh, Jabi di sini, hari ini.

Dia berkata, dua beranak itu menunjukkan sedikit kelainan berbanding kebiasaan apabila kerap bersama-sama dengan menaiki motosikal sejak akhir Ramadan sehingga pagi hari raya kedua untuk pergi ke mana-mana.

"Sebelum ini, mereka jarang berjumpa kerana Rosliza tinggal di Jabi, manakala bekas isteri saya tinggal di Kampung Apal.

"Namun raya pada tahun ini arwah Kak Ja (Rosliza) sempat mengajak ibunya beraya ke rumah bekas mentuanya serta bekas suami yang tinggal di Kampung Tok Has, Seberang Jertih, Kampung Bukit Keruak, Jabi serta Cheneh.

"Arwah Kak Ja pernah berkahwin tiga kali namun berpisah secara baik hanya perkahwinan pertama dikurniakan tiga orang anak," katanya.

Mat Hussin, sebelum ini arwah Kak Ja tidak ada menziarahi semua bekas mentua serta bekas suaminya, namun kali ini dia berbuat demikian walaupun hanya sekadar berjumpa seketika tidak sempat makan juadah raya yang dihidang.

"Arwah Tuan Yah juga selalunya tidak akan pergi berjalan jauh tanpa membawa anak bongsu hasil perkahwinan keduanya, namun kali ini dia tidak membawa bersama anaknya itu," katanya.

Menurutnya, dia dapat tahu kemalangan menimpa mereka daripada anak sulung ketika dalam perjalanan pulang beraya dari Kelantan.

Katanya, jenazah dua beranak itu dibawa pulang pada 6.30 pagi hari ini dan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chabang Tiga, Kampung Oh, Jabi pada 7.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 4:39 PM