PELANGGAN sanggup beratur panjang untuk membeli nasi briyani. FOTO Wan Izzati Amir
PELANGGAN sanggup beratur panjang untuk membeli nasi briyani. FOTO Wan Izzati Amir
NASI briyani yang mendapat sambutan di Tapak Pasar Ramadan Taman Melawati. FOTO Wan Izzati Amir
NASI briyani yang mendapat sambutan di Tapak Pasar Ramadan Taman Melawati. FOTO Wan Izzati Amir
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: "Kalau makanannya sedap saya tak kisah beratur panjang," kata Diana Adriana Lam yang sanggup beratur panjang untuk membeli nasi briyani di Tapak Pasar Ramadan Taman Melawati, di sini, sebagai juadah berbuka puasa.

Diana, 21, berkata, dia berminat untuk mencuba nasi briyani dijual di situ selepas melihat video tular komen positif orang ramai di media sosial.

"Saya juga merasakan makanan berat seperti nasi briyani pilihan yang baik untuk berbuka.

"Kebanyakan gerai yang beratur panjang pula kebanyakan terjamin keenakannya terjamin," katanya yang ditemui semalam.

Pelanggan setia nasi briyani di situ, Siti Aisyah Bahri, 25, pula berkata, dia sudah membeli juadah itu sejak tahun lalu namun pada tahun ini sambutan lebih menggalakkan sehingga terpaksa beratur panjang.

"Harga yang agak berbaloi dan mampu dibeli berbanding dengan tempat lain menjadi daya penarik kepada saya.

"Peniaga juga ramah dan walaupun beratur panjang tetapi perkhidmatan yang diberikan sangat pantas dan tidak perlu beratur lama," katanya.

Seorang lagi pelanggan, Nurul Aina Fizal, 23, berkata, pembuatan nasi briyani yang agak sukar dan mengambil banyak masa menyebabkan dia mengambil keputusan membeli.

"Saya memilih membeli walaupun perlu beratur panjang di bazar ini.

"Saya rasa lebih berbaloi kerana saya mahu makan sikit saja dan jika saya masak, kos lebih tinggi kerana banyak bahan perlu digunakan," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati dua gerai nasi briyani popular tidak berhenti menerima pelanggan sejak dibuka seawal jam 3 petang dan ada yang mula beratur sebelum gerai beroperasi.

Satu daripada gerai nasi briyani iaitu Nasi Briyani Kukus Padu sudah sembilan tahun beroperasi di bazar itu dan mula menjadi perhatian apabila tular menerusi media sosial baru-baru ini.

Pekerja nasi briyani, Muhammad Zulfikri, 25, berkata, pelanggan yang datang kebanyakan dipengaruhi beberapa platform media sosial dan terdapat juga pelanggan dari Terengganu dan Singapura.

"Kelainan nasi briyani kami adalah menggunakan air asam kerisik dan kami juga menawarkan sebungkus nasi dan lauk secara percuma kepada mana-mana ibu yang mengandung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 6:22 PM